Kenapa buat laporan polis terhadap Najib saja?

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Bersih 2.0 didesak turut membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap pemimpin PH yang melakukan kesalahan dalam PRK Sungai Kandis.


Presiden Pemantau Malaysia Baru, Datuk Lokman Noor Adam berkata, adalah tidak adil sekiranya Bersih 2.0 hanya membuat laporan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.


Katanya, Bersih 2.0 telah menuduh Najib melakukan kesalahan dibawah akta SPR kerana membuat satu posting di dalam laman Facebookya pada pukul 7 pagi hari membuang undi dan mendakwanya satu kesalahan.


“Yang saya pelik ialah mengapa Bersih 2.0 hanya membuat laporan terhadap Najib yang bukan calon PRK? Tetapi langsung tidak membuat sebarang laporan terhadap calon dan pemimpin-pemipin PH lain yang Bersih 2.0 sendiri dakwa telah melanggar undang-undang?


“Untuk membuktikan bahawa Bersih 2.0 ialah NGO yang tidak berat sebelah dan bukan alat badan politik, mereka harus membuat laporan polis terhadap PH yang melanggar undang-undang SPR dengan lebih serius,” katanya dalam kenyataan hari ini.


[ARTIKEL BERKAITAN: SPR perlu ambil berat teguran bersih]


Lokman yang juga calon BN di PRK Sungai Kandis berkata, pegawai program Bersih 2.0, Lee Chun Lun minggu lalu telah mengeluarkan kenyataan bahawa calon PH, Zawawi Mughni telah banyak melakukan kesalahan di bawah akta SPR yang sama.


“Antara kesalahan PH yang disenaraikan Bersih 2.0 termasuk pemberian penukaran minyak hitam motosikal percuma, pemeriksaan kesihatan percuma dan ubatan percuma serta menyalah guna aset kerajaan dan berkempen dalam acara sekolah serta kerajaan.


“Bersih 2.0 juga menuduh bahawa beberapa menteri PH didapati menggunakan kereta rasmi mereka untuk pergi ke pusat penamaan calon pada hari pengundian. Bersih 2.0 menuduh bahawa ini juga telah melanggar peraturan pilihan raya,” katanya.


Lokman turut memberi masa tiga hari kepada Bersih 2.0 untuk membuat laporan terhadap pemimpin PH bagi ‘membersihkan’ nama dan integriti mereka.


“Jika Bersih 2.0 masih tidak bersih, Pemantau Malaysia Baru akan menolong mereka membuat laporan-laporan terhadap PH,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]