Malaysia gagal raih pingat berbasikal trek

in Sukan by


SKUAD berbasikal trek negara mempamerkan persembahan hambar apabila gagal meraih sebarang pingat pada hari kedua pertandingan pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 di Velodrom Antarabangsa Jakarta, hari ini.


Skuad lelaki negara gagal mara ke final acara kejar-mengejar berpasukan lelaki selepas tewas kepada Thailand pada saringan pertama.


Gandingan negara – Irwandie Lakasek, Muhammad Nur Aiman Rosli, Muhamad Afiq Huznie Othman dan Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff mencatat masa 4 minit 15.768 saat, manakala pasukan Thailand dibarisi Sarawut Sirironnachai, Patompob Phonarjthan, Yuttana Mano dan Navuti Liphongyu melakar 4:14.789 saat.


Berdasarkan format pertandingan, hanya juara setiap empat saringan layak ke aksi pingat emas, perak dan gangsa.


China meraih emas acara berkenaan setelah menewaskan Hong Kong pada aksi penentuan pingat emas, manakala Jepun memenangi pingat gangsa setelah menewaskan Kazakhstan pada saingan penentuan pingat gangsa.


Nasib sama turut menimpa dua pelumba wanita negara, Farina Shawati Mohd Adnan dan Anis Amira Rosidi yang menamatkan saingan acara keirin pada kedudukan kesembilan dan ke-12 daripada 12 peserta.


Untuk rekod, Malaysia meraih satu perak dalam acara pecut berpasukan lelaki menerusi gandingan Mohd Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil Mohd Zonis pada hari pembukaan berbasikal trek, semalam. – Bernama


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]