MOF tubuh dua jawatankuasa baru

in Nasional by


PUTRAJAYA – Kerajaan akan menubuhkan Jawatankuasa Kewangan Awam dan Jawatankuasa Reformasi Cukai dalam usaha memperbaiki keadaan ekonomi negara.


Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, Jawatankuasa Kewangan Awam akan menyediakan rancangan fiskal jangka sederhana sambil meneruskan agenda konsolidasi fiskal.


“Ia mengambil kira keperluan kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan menyokong pertumbuhan ekonomi melalui perbelanjaannya.


“Jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh Menteri Kewangan dan akan dianggotai oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan Gabenor Bank Negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Katanya, Jawatankuasa Reformasi Cukai pula akan mengkaji sistem pencukaian negara secara menyeluruh.


“Ia bagi menjadikannya lebih efisien, lebih neutral dan lebih progresif bagi membantu memacu pertumbuhan ekonomi berkualiti tinggi tanpa membebankan rakyat. Antara langkah yang akan dikaji adalah cara meminimumkan ketirisan cukai dan pengelakan cukai,” katanya.


Menurut Guan Eng, kerajaan Persekutuan juga sedang menimbang beberapa cadangan seperti melepaskan pegangan sahamnya dalam beberapa syarikat yang tidak kritikal dan tidak strategik.


Katanya, ia akan dilakukan tanpa menjejaskan kestabilan pasaran sambil melakukan lelongan tanah awam secara terancang dan tender terbuka.


“Sebelum ini, tanah-tanah awam telah dijual pada harga yang sangat rendah kepada pihak-pihak yang mempunyai hubungan politik dengan kerajaan yang lama. Perbuatan ini telah mengurangkan hasil kerajaan Persekutuan,” katanya.


Dalam pada itu, katanya, kerajaan sedang memantau perkembangan hubungan Amerika Syarikat dan China yang akan mempengaruhi prestasi pasaran modal tempatan dan keutuhan nilai mata wang ringgit.


“Sekiranya Amerika Syarikat dan China dapat mencapai muafakat di dalam perundingan perdagangan mereka, maka sentimen di pasaran modal dan nilai mata wang Malaysia dijangka akan meningkat lagi.


“Akan tetapi, sebaliknya akan berlaku jika rundingan tersebut gagal. Kerajaan Malaysia sedang memantau perkembangan global ini dengan rapi dan bersedia untuk bertindak jika perlu demi menjaga kesejahteraan rakyat,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]