Orang tengah ‘Leftenan Komander’ pula ditahan

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Dua individu termasuk pengusaha bot nelayan tempatan direman selama enam hari, bermula hari ini sehingga 3 September depan bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram.


Kedua-dua suspek yang berusia 55 dan 40 tahun itu disyaki menjadi orang tengah kepada seorang pegawai kanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) yang ditahan pada Isnin lalu kerana disyaki menerima rasuah daripada tauke bot nelayan asing.


Mereka ditahan selepas hadir memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penahanan pegawai kanan Maritim berkenaan, semalam.


Perintah tahanan reman terhadap pengusaha bot, 55, dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Malaya, Wan Aziantie Wan Ab Karim @Isa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu manakala reman terhadap seorang lagi individu, 40, dikeluarkan oleh Majistret Badrul Munir Mohd Hamdy di Mahkamah Majistret Kemaman.


Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.


[ARTIKEL BERKAITAN: ‘Leftenan Komander’ Maritim Malaysia direman seminggu]


Semalam, seorang pegawai kanan Maritim berpangkat Leftenan Komander direman selama seminggu bagi membantu siasatan.


Suspek yang bertugas sebagai pegawai pemerintah di sebuah kapal Maritim dipercayai menerima rasuah berjumlah antara RM4,000 hingga RM9,000 daripada tauke-tauke kapal sejak 2016 hingga 2017.


Ia sebagai balasan bagi melepaskan bot nelayan asing yang ditahan Maritim kerana menceroboh perairan negara.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]