Pas prihatin nasib semua kaum

in Politik by


PETALING JAYA – Pas adalah sebuah parti yang prihatin dan sentiasa memberi perhatian terhadap nasib seluruh kaum di negara ini.


Calon Pas PRK Dun Seri Setia, Dr Halimah Ali berkata, dakwaan yang mengatakan bahawa Pas hanya memberi tumpuan kepada satu kaum sahaja adalah tidak benar berikutan terdapat pelbagai program yang telah dirangka membabitkan penglibatan daripada pelbagai kaum sebelum ini.


“Saya sendiri sebagai Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional dan Biro Solidariti Pas Selangor sememangnya telah merancang dan melaksanakan banyak aktiviti bersama pelbagai kaum.


“Kita kena beri perhatian khusus dan layanan seadanya kepada golongan bukan Melayu memandangkan perkara ini turut termaktub di dalam perlembagaan Pas,” katanya ketika sidang media hari ini.


Halimah berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Pusat Media PRK Dun Seri Setia di Bangunan Tabung Haji Kelana Jaya.


Dalam pada itu, Halimah juga memberi jaminan akan menumpukan perhatian kepada semua kaum di Dun Seri Setia sekiranya dipilih selepas ini sejajar dengan perlembagaan parti.


Katanya, sewaktu berkhidmat sebagai Adun Selat Klang sejak 2008 lalu, beliau telah berkhidmat buat semua kaum di kawasan terlibat bagi membantu membela nasib rakyat secara keseluruhan.


“Sebagai contoh di Pulau Ketam, kawasan itu mempunyai kira-kira 99 peratus masyarakat Cina namun dalam setiap perayaan mereka, saya akan turut sama turun padang bagi meraikan mereka.


“Sepanjang kira-kira 10 tahun berkidmat sebagai Adun sebelum ini, saya sentiasa meraikan kepelbagaian kaum, agama dan bangsa,” katanya.


Halimah berkata, beliau tidak mempunyai masalah untuk meneruskan tradisi sedemikian di Dun Seri Setia selepas ini bagi memberi perkhidmatan kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama dan bangsa.


“Pas bukan ekstrimis dan Pas menentang ekstremisme.


“Dan jika saya dipilih, saya akan bawa suara seluruh rakyat di dalam Sidang Dun selepas ini,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]