Projek kereta nasional ke-3 mampu pulih imej negara

in Nasional by


KOTA BHARU – Projek kereta nasional ketiga bakal dilaksanakan kerajaan berpotensi cerah dalam perindustrian automotif dan boleh memulihkan imej negara bagi sektor tersebut.


Bekas Pengarah Urusan Proton Holdings Bhd, Tan Sri Mohd Nadzmi Mohd Salleh berkata, perlaksanaan projek tersebut juga mampu mencipta model perniagaan baru kepada pengusaha tempatan meskipun ia masih baharu.


“Saya melihat projek kereta nasional ketiga yang bakal dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan suatu projek pemulihan imej negara dalam industri automotif peringkat global.


“Ini kerana industri tersebut miliki potensi dan peluang besar ke arah membantu dan memulihkan impak ekonomi negara pada masa hadapan,” katanya.


Mengulas lanjut, katanya di samping mampu mencipta peluang pekerjaan yang banyak, ia diyakini boleh menembusi pasaran automotif di peringkat antarabangsa.


“Ini adalah berdasarkan kepada faktor sejarah dan juga produk  model kereta domestik yang mampu bersaing di peringat pasaran global,” katanya.


Oleh itu, beliau berkata, projek kereta nasional negara mestilah memiliki konsep yang jelas dan orientasi pembentukannya mesti mempunyai hala tuju mantap dan komprehensif.


“Meskipun pasaran untuk kenderaan elektrik yang tidak menggunakan bahan bakar seperti petrol dan diesel masih baru namun dalam jangka panjang ia menjanjikan pulangan dan keuntungan besar.


“Memandangkan industri kenderaan elektrik dijangka mampu mengambil alih dan menggantikan sistem konvensional industri automotif dunia yang menggunakan petrol dan diesel, sebaliknya menggantikan dengan elektrik car atau menggunakan sistem solar,” katanya.


Dalam masa sama beliau amat yakin dengan idea dan pemikiran Perdana Menteri yang mana projek kereta nasional negara mampu memberi impak baik kepada ekonomi negara.


Ditanya kesediaan untuk membantu projek tersebut sekiranya ditawarkan oleh Perdana Menteri, beliau memaklumkan akan terlebih dahulu melihat terma dan syarat yang diberikan.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]