Rokok seludup bernilai hampir RM2j dirampas

in Edisi Terengganu by


DUNGUN – Rokok bernilai RM 1.8 juta dipercayai diseludup dari negara jiran dirampas di perairan Paka, di siniĀ  awal pagi tadi.


Dalam serbuan kira-kira jam 4.00 pagi, sebuah lori kargo dan sebuah bot nelayan diserbu oleh pasukan polis dari IPD Dungun dan Balai Polis Paka berjaya menemui 595, 000 karton rokok berjenama Luffman.


Ketua Polis Daerah Dungun, Baharudin Abdullah berkata, seramai 15 lelaki tempatan dipercayai dalang aktiviti haram itu turut ditahan.


Menurutnya, kesemua yang ditahan berusia 26 hingga 44 tahun.


“Kita terima maklumat daripada orang awam mengatakan beberapa lelaki memunggah kotak hitam ke dalam lori.


“Seorang pegawai polis bersama 11 anggota tiba di lokasi pemunggahan dan selepas diperiksa kotak hitam tersebut mengandungi rokok dipercayai di seludup dari Vietnam.


“Kita menahan 15 lelaki dan merampas sebuah lori kargo mengandungi ratusan kotak rokok,” katanya.


Beliau berkata, operasi di teruskan di lautan apabila sebuah bot nelayan yang diubahsuai bagi mengaburi mata pihak berkuasa berjaya dirampas.


“Sebanyak 1,190 kotak yang mengandungi 595, 000 karton rokok telah dirampas.


“Sekotak kecil rokok dianggarkan dijual dengan harga RM 3.00 dan nilai keseluruhan dianggarkan hampir RM 2 juta,” katanya.


Kata Baharudin, kesemua warga tempatan yang ditahan diserahkan kepada pihak kastam untuk siasatan dan tindakan lanjut.


“Rampasan ini adalah paling besar dan kejayaan pertama pihak polis untuk tahun ini.


“Aktiviti haram ini dipercayai masih baharu di kawasan ini dan rokok yang diseludup dijual di pasaran tempatan.


“Kesemua rokok yang dirampas, lori dan bot disita akan diserahkan kepada pihak Kastam,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]