TNB peruntuk RM10j dermasiswa ‘My Brighter Future’

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperuntukkan RM10 juta dermasiswa menerusi ‘My Brighter Future’ yang melibatkan tajaan untuk 1,000 siswazah melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pada tahun ini.


Pengerusinya, Tan Sri Leo Moggie berkata, dermasiswa itu diberikan kepada siswazah daripada keluarga kurang berkemampuan yang berjaya melanjutkan pengajian di peringkat ijazah pertama dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem).


Katanya, setiap penerima dermasiswa itu diberi berdasarkan kursus ditawarkan iaitu antara RM30,000 hingga RM40,000 yang merangkumi yuran pengajian, penginapan dan elaun sara hidup sepanjang tempoh pengajian.


“Kita turut bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi mendapatkan data pelajar menerusi Program e-Kasih yang dikendalikan Jabatan Kebajikan Masyarakat.


“Pembayaran akan diberikan terus kepada universiti untuk disampaikan kepada pelajar. Diharap Dermasiswa ‘My Brighter Future’ bukan sahaja dapat meringankan beban keluarga berpendapatan rendah untuk menampung kos anak mereka menuntut di universiti, malah kemudiannya membolehkan mereka keluar dari kepompong kemiskinan,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan sijil Dermasiswa ‘My Brighter Future’ kepada siswazah, di sini, hari ini.


Beliau berkata, sejak 1993, TNB menerusi Yayasan Tenaga Nasional (YTN) membelanjakan lebih RM1 bilion sebagai biasiswa dan pinjaman boleh ubah kepada 11,000 pelajar cemerlang.


“Setiap tahun kami akan menaja biasiswa dan pinjaman boleh ubah kepada pelajar cemerlang, manakala dermasiswa merupakan program pertama yang dilakukan TNB untuk membantu pelajar daripada keluarga susah yang mendapat tempat di universiti awam,” katanya.


Pada majlis itu, 10 penerima Dermasiswa ‘My Brighter Future’ yang baru mendaftar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) menerima sijil tawaran dermasiswa masing-masing.


Selain UiTM, dermasiswa itu turut ditawarkan kepada mereka yang melanjutkan pelajaran di Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Malaysia Pahang, Universiti Malaysia Perlis dan Universiti Tun Hussein Onn.


Sementara itu, penerima dermasiswa, Siti Nor Aminah Satiman, 19, bersyukur kerana terpilih untuk menikmati bantuan berkenaan.


Bagi Nik Aimee Aizal Nik Ahmad, 20, dia berterima kasih dengan TNB kerana dapat meringankan beban keluarganya untuk melanjutkan pengajian di UiTM.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]