Bertanggungjawab bagi lindungi gajah terancam

in Edisi Sabah Sarawak by


KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyeru rakyat Sabah untuk bertanggungjawab secara kolektif bagi melindungi gajah pygmy Borneo yang terancam di negeri ini.


Beliau yang bimbang mengenai kematian beberapa ekor gajah pygmy di Sabah juga mengarahkan inisiatif baharu dilaksanakan dalam usaha untuk menghentikan pembunuhan haiwan itu termasuk 25 ekor gajah dalam tempoh lapan bulan tahun ini.


“Inisiatif ini harus merangkumi usaha melibatkan semua agensi berkaitan untuk bekerjasama dengan penduduk yang tinggal di zon konflik manusia- dengan cara mendidik mereka dalam menangani masalah pencerobohan gajah di kampung, kebun dan ladang.


“Saya telah mengarahkan dua menteri negeri – Timbalan Ketua Menteri  Christina Liew dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Junz Wong – untuk mengadakan rundingan dengan pemilik ladang supaya mereka dapat melibatkan pekerja mereka untuk membantu usaha memerangi kegiatan pemburuan haram, dan pembunuhan haiwan di kawasan mereka,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.


“Pemilik ladang dan petani juga perlu berusaha menanggalkan semua jerat yang dipasang oleh pemburu di kawasan mereka,” kata beliau sambil menambah bahawa gajah di Sabah adalah spesies yang dilindungi sepenuhnya.


“Gajah di Sabah adalah dilindungi sepenuhnya di bawah undang-undang dan menjadi satu kesalahan untuk mencederakan atau membunuh haiwan tersebut,” kata beliau.


Ketua Menteri juga berharap orang ramai berwaspada dan menjadi mata dan telinga pihak berkuasa untuk melindungi gajah di negeri ini kerana agensi penguatkuasa tidak dapat menjalankan pengawasan sepenuhnya untuk memerangi pelaku jenayah ini yang bertapak dalam masyarakat.


“Jabatan Hidupan Liar Sabah juga diarah untuk memaklumkan nombor hotline mereka kepada penduduk di zon konflik manusia-gajah untuk membolehkan tindakan lebih pantas diambil untuk menangani konflik.


“Saya sedar tentang perlunya koridor hutan menghubungkan kelompok-kelompok hutan di pantai timur Sabah. Saya harap kita dapat mencakupi pemantaunnya melalui bantuan NGO kerana kerajaan negeri sedia untuk membantu,” kata beliau.


Mohd Shafie berkata cuma 1,500 hingga 2,500 ekor sahaja gajah yang hidup bebas di hutan  dan angka ini amat membimbangkan kerana haiwan tersebut boleh pupus dalam masa beberapa dekad.


“Sementara itu, Liew berkata kerajaan Sabah akan menguatkuasakan Seksyen 33 Enakmen Hidupan Liar Sabah yang membolehkan mereka yang membunuh gajah dibawa terus ke pengarah hidupan liar negeri untuk disoal.


Liew yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah menyifatkan tindakan itu sebagai pilihan terakhir sambil berkata Seksyen 33 enakmen itu berkuatkuasa serta merta.


Ketika ditemui pemberita di sini, beliau berkata satu unit baharu dikenali sebagai Unit Gajah akan ditubuhkan di Jabatan Hidupan Liar Sabah, yang akan dikendalikan oleh pakar gajah dari luar negara.


Semalam, pengarah Hidupan Liar Sabah Augustine Tuuga mendedahkan bahawa 25 ekor gajah pygmy Borneo ditemui mati tahun ini, sama ada ditembak mati atau terkena perangjkap yang dipasang di kawasan hutan dan ladang di negeri ini.


Dalam insiden terbaharu, seekor gajah betina berusia antara 12 hingga 15 tahun ditemui dengan kesan tembakan di Ladang Bintang Emas Property Sdn Bhd di Tongod, Sabtu lalu. – Bernama


Source: SH Edisi Sabah Sarawak

[featured-video-plus]