Warisan nafi keluar kad pengenalan

in Edisi Sabah Sarawak by


KOTA KINABALU – Parti Warisan Sabah menafikan sama sekali bahawa ia terlibat atau telah mengeluarkan borang bagi pendaftaran kad pengenalan atau permohonan bagi kewarganegaraan.


Dalam satu kenyataan di sini malam ini, setiausaha kerja Parti Warisan, Arifin Asgali berkata, parti itu tidak mempunyai kuasa berhubung perkara-perkara berkaitan pengeluaran kad pengenalan atau kewarganegaraan kerana peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendaftaran Negara adalah jelas dan terang mengenai perkara itu.


Beliau memetik Perkara 16 dan Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan bahawa kerajaan Persekutuan boleh memberikan taraf kewarganegaraan kepada bukan wargegara jika orang itu dianggap layak.


Beliau mengeluarkan kenyataan itu susulan kenyataan Ketua Wanita Umno Sabah Datuk Jainab Ahmad Ayid semalam yang menggesa Warisan menjelasan pendiriannya mengenai perkara tersebut.


Arifin, yang juga Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri berkata perlembagaan menyatakan “…, apabila permohonan dibuat oleh mana-mana orang yang berumur dua puluh satu tahun atau lebih yang bukan warganegara, kerajaan Persekutuan boleh memberi orang itu suatu perakuan naturalisasi jika kerajaan Persekutuan berpuas hati…” orang itu memenuhi syarat-syarat tertentu.


Beliau menegaskan bahawa Jabatan Pendaftaran Negara Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah pun tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan kad pengenalan atau memberi taraf kewarganegaraan.


“Hanya Menteri Dalam Negeri yang mempunyai kuasa tersebut dan kuasa itu harus dijalankan mengikut Perlembagaan Persekutuan,” kata beliau.


Arifin menyelar pihak-pihak tidak bertanggungjawab kerana menyebarkan pembohongan yang berniat jahat kononnya Warisan menjalankan operasi untuk mendaftarkan pendatang asing tanpa izin sebagai warganegara dan mengeluarkan kad pengenalan.


“Baik Parti Warisan mahupun Kerajaan Negeri Sabah tidak boleh mengeluarkan kad pengenalan dan taraf kewarganegaraan. Ia dengan jelas dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata beliau. -Bernama


Source: SH Edisi Sabah Sarawak

[featured-video-plus]