Bayi merdeka akhiri penantian empat tahun

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU- “Inilah hadiah kesabaran kami setelah empat tahun menanti kehadiran cahaya mata,” luah Norazelina Awang Noh, 33, ibu kepada bayi merdeka terawal di negeri ini.


Wanita dari Besut itu selamat melahirkan anak pertamanya yang juga mencatatkan rekod ‘bayi merdeka’ pertama pada tahun ini, kira-kira jam 12.01 pagi di Pusat Rawatan Ibu dan Bayi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.


Bayi lelaki seberat 2.7 kilogram merupakan antara 20 bayi yang dilahirkan di hospital itu pada hari ulang tahun kemerdekaan negara ke-61.


Menurut Norazelina, dia langsung tidak terfikir yang bayinya akan dilahirkan pada tarikh keramat itu kerana jangkaan sebenar dia bersalin pada 9 September depan.

Norazelina (kiri) bersama sebahagian kakitangan yang bertugas di wad Pusat Rawatan Ibu dan Bayi HSNZ, Kuala Terengganu.


 


“Sepatutnya saya diarahkan masuk wad 1 September ini (esok) untuk dipantau terlebih dahulu kerana masalah kesihatan yang dihidapi.


“Bagaimanapun, semalam saya mula sakit sebelum suami (Zainudin Ariffin) hantar ke Hospital Setiu tetapi disebabkan rekod kesihatan sedia ada, saya dirujuk ke sini (HSNZ).


“Saya dikejarkan ke bilik bersalin pada jam 4 petang semalam, dan tak sangka selepas hampir sembilan jam menahan sakit, saya berjaya bersalin secara normal,” katanya ketika ditemui, hari ini.


Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri, Dr Mohd Jusoh berkata, Hari Kebangsaan kali ini menyaksikan 30 kelahiran ‘bayi merdeka’ di negeri itu sejak 12 tengah malam hingga 12 tengah hari tadi.


Menurutnya, di HSNZ, 20 kelahiran (12 bayi lelaki dan 8 bayi perempuan), di Hospital Kemaman empat kelahiran (seorang bayi lelaki dan tiga bayi perempuan), Hospital Dungun dan Hospital Besut tiga kelahiran (seorang bayi lelaki dan dua bayi perempuan) direkodkan manakala Hospital Setiu dan Hulu Terengganu tiada kelahiran direkodkan.

 


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]