'Exco ketuk pintu rumah mak nyah'

in Edisi Terengganu by


MARANG – Kerajaan Terengganu terus komited dalam membantu golongan mak nyah di negeri itu menerusi program pemulihan agar mereka dapat kembali semula kepada fitrah.


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, pada program kali pertama sebelum ini ada di antara mak nyah berjaya menunjukkan perubahan.


“Walaupun tidak berubah sepenuhnya, ada beberapa daripada 100 orang mak nyah yang mengikuti sesi pertama program pemulihan sudah berubah.


“Kita faham bukan mudah berubah kerana kebanyakan mereka sudah menjadi mak nyah dalam tempoh lama, mungkin berpuluh tahun namun kita akan terus membuat pemantauan,” katanya selepas berakhir Program Sekuntum Impian Sejambak Harapan di sini, semalam.


Antara pengisian program tiga hari itu ialah aktiviti kerohanian seperti qiamullail, kuliah agama, penerangan mengenai peluang-peluang kursus kemahiran bagi peserta mengubah gaya hidup mereka.


Beliau berkata, hasil daripada program tersebut juga, rekod penangkapan bagi kes mak nyah di negeri itu jatuh mendadak yang mungkin kerana kesedaran tentang keburukan aktiviti songsang.


Menurutnya, kerajaan negeri membuka pintu seluasnya kepada golongan itu untuk mengubah diri ke jalan benar, sebagaimana mereka yang tergelincir cara hidup akibat dadah dan sebagainya.


“Kerajaan menganggap mereka ini mesti diberi peluang sama kembali ke pangkal jalan,” katanya.


Malah, kesungguhan exco kerajaan negeri itu terbukti apabila sanggup turun padang, mengetuk pintu rumah mak nyah di bandar raya Kuala Terengganu untuk bertemu dan berbincang sebelum program itu diadakan.


Perkara itu didedahkan seorang mak nyah ‘senior’ dikenali sebagai Lisa yang merupakan salah seorang daripada 18 peserta yang menyertai Program Sekuntum Impian Sejambak Harapan siri kedua itu.


Bagaimanapun, ‘kemesraan’ ditunjukkan exco kerajaan negeri itu tidak sama sekali bermaksud Kerajaan Terengganu membuka pintu kepada isu-isu lain seperti hak sama rata atau semaksud dengannya.


Mohd Nor berkata, jika kumpulan mak nyah ditahan ketika melakukan kesalahan atau didapati bersalah oleh pihak berkuasa, mereka tetap akan dikenakan tindakan tanpa sebarang kompromi.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]