Zoo Johor destinasi tumpuan cuti sekolah

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Apabila tiba musim cuti sekolah mahupun cuti umum, sudah pasti ibu bapa tidak akan melepaskan peluang untuk melakukan aktiviti luar rumah bersama anak-anak di beberapa tempat menarik dalam negara.


Di negeri ini, Zoo Johor menjadi antara kawasan tumpuan orang ramai menjalankan aktiviti bersama-sama keluarga.


Dengan bayaran tiket serendah RM2 bagi orang dewasa dan RM1 untuk kanak-kanak, tidak hairanlah Zoo Johor tidak pernah lengang dan sentiasa meriah dikunjungi pengunjung berbilang kaum.


Zoo Johor adalah antara zoo yang tertua di negara ini dibina sekitar tahun 1928 dan mengenakan bayaran yang paling murah serta mampu menarik lebih ramai pengunjung datang ke zoo.


Pembantu Awam Zoo Johor, Raja Zulkifli Raja Hassan berkata, sejak beberapa tahun kebelakangan ini Zoo Johor menjadi tempat utama orang ramai untuk dikunjungi pada setiap musim cuti sekolah, hujung minggu dan cuti umum.


“Pada masa ini Zoo Johor mempunyai lebih 60 spesies haiwan yang datang dari dalam dan luar negara.


“Zoo Johor dibuka seawal jam 9 pagi hingga 6 petang, dan mampu menjanjikan pengalaman yang berbeza buat pengunjung khususnya kepada kanak-kanak,” katanya.


Raja Zulkifli berkata, walaupun tidak banyak spesies haiwan namun ia mampu memberi pengalaman kepada kanak-kanak.


Katanya, Zoo Johor dibuka setiap hari untuk pengunjung dan jualan tiket akan meningkat apabila tiba cuti umum mahupun cuti sekolah.


“Sekiranya cuti umum jualan tiket boleh mencecah sehingga lebih RM12,000 sehari bagi tiket RM2 dan RM1.


“Dengan harga tiket yang murah ia mampu menarik pengunjung khususnya ibu bapa untuk membawa anak-anak mereka beriadah di Zoo Johor,” katanya.


Boleh sentuh haiwan


Raja Zulkifli berkata, apabila berkunjung di Zoo Johor pengunjung berpeluang untuk memberikan makanan yang disediakan kepada haiwan jinak seperti unta, rusa dan gajah.


Menurutnya, pengunjung mahupun kanak-kanak berpeluang menyentuh haiwan jinak tersebut dengan bantuan pekerja zoo.


“Setiap makanan yang dijual untuk haiwan dalam kadar bayaran yang berpatutan. Dan ini antara aktiviti yang pengunjung boleh lakukan di zoo selain beri pengalaman serta pendidikan kepada kanak-kanak.


“Bagaimanapun, pada masa tidak banyak aktiviti yang dianjurkan oleh pihak zoo dan kebanyakannya dilaksanakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya.


Selain itu, Raja Zulkifli berkata, pihaknya turut menerima lawatan dari beberapa NGO yang sukarela menjalankan aktiviti kesukarelaan membersihkan kandang haiwan.


Katanya, aktiviti kesukarelaan ini amat dialu-alukan oleh pihak Zoo Johor kepada NGO yang ingin melakukan aktiviti berkenaan.


Bagi seorang pengunjung, Ainaa Md Nor, 23, kunjungannya ke zoo tersebut membawa anak saudara yang pertama kali datang melihat dengan lebih dekat ratusan spesies haiwan di situ.


Menurutnya, zoo tersebut bukan sahaja sesuai untuk kanak-kanak, malah dapat menambah pengetahuan buat setiap pengunjung yang berkunjung ke mari.


Katanya, infografik tentang haiwan tertentu yang diletakkan di depan kandang dan sangkar haiwan membolehkan orang ramai mengetahui dengan lebih mendalam tentang habitat berkenaan.


“Dengan berkunjung ke zoo ini, saya dapat mendidik anak saudara tentang haiwan yang terdapat di sini.


“Tambahan pula, menerusi penerangan yang diletakkan itu membolehkan saya menerangkan kepada mereka dengan lebih jelas mengenai haiwan berkenaan,” katanya.

 


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]