Monthly archive

August 2018 - page 5

Sirim laksana 14 projek komuniti di Sabah

in Edisi Sabah Sarawak by


SANDAKAN – Sirim telah melaksanakan 14 projek komuniti di tujuh daerah di Sabah bernilai RM2.5 juta menerusi dana daripada Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.


Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sirim, Prof Ir Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani berkata pelaksanaan projek komuniti itu memberi manfaat kepada masyarakat di negeri ini melalui aplikasi teknologi di dalam pelbagai sektor seperti pertanian, perikanan, pendidikan, pelancongan dan persekitaran.


Katanya projek komuniti Sirim yang baru dilaksanakan di Ranau, iaitu biji koko yang dituai oleh peladang di Kampung Napong 2 dikeringkan menggunakan teknologi solar termal.


Menurutnya satu lagi projek komuniti di Ranau membabitkan sistem pengkomposan yang digunakan di Kampung Bundu Tuhan diaplikasikan untuk menukar sisa buangan sayur tanaman kepada kompos organik.


“Sirim telah bertapak di Sabah sejak 1980-an dan kami mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam menyediakan aplikasi teknologi dan penambahbaikan dalam pelbagai sektor antaranya pengeluaran, minyak dan gas, serta perkhidmatan,” katanya.


Beliau berkata demikian pada Program Keterlibatan SIRIM-Industri yang dirasmikan oleh Pembantu Menteri Perdagangan dan Industri Sabah, Azhar Matussin di sini, hari ini.


Ahmad Fadzil berkata melalui pelbagai program yang dilaksanakan, lebih 700 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negeri ini telah dilatih dan dibantu oleh Sirim.


Katanya dengan bekerjasama dengan agensi pembiayaan, SIRIM telah memberikan latihan teknikal dalam pengeluaran produk kosmetik, bahan pencuci, faundri, kaca dan seramik kepada lebih daripada 350 pelajar, belia, wanita dan usahawan Sabah yang bercita-cita tinggi.


Dalam pada itu, beliau berkata menerusi program Keterlibatan SIRIM-Industri, peserta juga diperkenalkan kepada Model Inovasi Industri SIRIM dan program Audit Teknologi yang membabitkan kerjasama antara SIRIM dan Fraunhofer, Jerman, dengan sokongan kerajaan Malaysia.


Katanya program ini akan membantu PKS menjadi lebih berdaya saing, inovatif dan produktif bagi membolehkan produk mereka lebih mudah didapati dan diterima di pasaran antarabangsa.


Beliau berkata sejak diperkenalkan sehingga Ogos ini, sebanyak 622 PKS di negara ini termasuk 25 PKS Sabah telah menyertai audit teknologi dan mengikuti latihan.


Menurutnya Sirim telah membantu mereka dalam pelbagai intervensi teknologi termasuk peningkatan di dalam automasi dan mekanisasi di dalam proses pembuatan dan pengeluaran.- Bernama


Source: SH Edisi Sabah Sarawak

[featured-video-plus]

TNB peruntuk RM10j dermasiswa ‘My Brighter Future’

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperuntukkan RM10 juta dermasiswa menerusi ‘My Brighter Future’ yang melibatkan tajaan untuk 1,000 siswazah melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pada tahun ini.


Pengerusinya, Tan Sri Leo Moggie berkata, dermasiswa itu diberikan kepada siswazah daripada keluarga kurang berkemampuan yang berjaya melanjutkan pengajian di peringkat ijazah pertama dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem).


Katanya, setiap penerima dermasiswa itu diberi berdasarkan kursus ditawarkan iaitu antara RM30,000 hingga RM40,000 yang merangkumi yuran pengajian, penginapan dan elaun sara hidup sepanjang tempoh pengajian.


“Kita turut bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi mendapatkan data pelajar menerusi Program e-Kasih yang dikendalikan Jabatan Kebajikan Masyarakat.


“Pembayaran akan diberikan terus kepada universiti untuk disampaikan kepada pelajar. Diharap Dermasiswa ‘My Brighter Future’ bukan sahaja dapat meringankan beban keluarga berpendapatan rendah untuk menampung kos anak mereka menuntut di universiti, malah kemudiannya membolehkan mereka keluar dari kepompong kemiskinan,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan sijil Dermasiswa ‘My Brighter Future’ kepada siswazah, di sini, hari ini.


Beliau berkata, sejak 1993, TNB menerusi Yayasan Tenaga Nasional (YTN) membelanjakan lebih RM1 bilion sebagai biasiswa dan pinjaman boleh ubah kepada 11,000 pelajar cemerlang.


“Setiap tahun kami akan menaja biasiswa dan pinjaman boleh ubah kepada pelajar cemerlang, manakala dermasiswa merupakan program pertama yang dilakukan TNB untuk membantu pelajar daripada keluarga susah yang mendapat tempat di universiti awam,” katanya.


Pada majlis itu, 10 penerima Dermasiswa ‘My Brighter Future’ yang baru mendaftar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) menerima sijil tawaran dermasiswa masing-masing.


Selain UiTM, dermasiswa itu turut ditawarkan kepada mereka yang melanjutkan pelajaran di Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Malaysia Pahang, Universiti Malaysia Perlis dan Universiti Tun Hussein Onn.


Sementara itu, penerima dermasiswa, Siti Nor Aminah Satiman, 19, bersyukur kerana terpilih untuk menikmati bantuan berkenaan.


Bagi Nik Aimee Aizal Nik Ahmad, 20, dia berterima kasih dengan TNB kerana dapat meringankan beban keluarganya untuk melanjutkan pengajian di UiTM.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]

MOF tubuh dua jawatankuasa baru

in Nasional by


PUTRAJAYA – Kerajaan akan menubuhkan Jawatankuasa Kewangan Awam dan Jawatankuasa Reformasi Cukai dalam usaha memperbaiki keadaan ekonomi negara.


Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, Jawatankuasa Kewangan Awam akan menyediakan rancangan fiskal jangka sederhana sambil meneruskan agenda konsolidasi fiskal.


“Ia mengambil kira keperluan kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan menyokong pertumbuhan ekonomi melalui perbelanjaannya.


“Jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh Menteri Kewangan dan akan dianggotai oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan Gabenor Bank Negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Katanya, Jawatankuasa Reformasi Cukai pula akan mengkaji sistem pencukaian negara secara menyeluruh.


“Ia bagi menjadikannya lebih efisien, lebih neutral dan lebih progresif bagi membantu memacu pertumbuhan ekonomi berkualiti tinggi tanpa membebankan rakyat. Antara langkah yang akan dikaji adalah cara meminimumkan ketirisan cukai dan pengelakan cukai,” katanya.


Menurut Guan Eng, kerajaan Persekutuan juga sedang menimbang beberapa cadangan seperti melepaskan pegangan sahamnya dalam beberapa syarikat yang tidak kritikal dan tidak strategik.


Katanya, ia akan dilakukan tanpa menjejaskan kestabilan pasaran sambil melakukan lelongan tanah awam secara terancang dan tender terbuka.


“Sebelum ini, tanah-tanah awam telah dijual pada harga yang sangat rendah kepada pihak-pihak yang mempunyai hubungan politik dengan kerajaan yang lama. Perbuatan ini telah mengurangkan hasil kerajaan Persekutuan,” katanya.


Dalam pada itu, katanya, kerajaan sedang memantau perkembangan hubungan Amerika Syarikat dan China yang akan mempengaruhi prestasi pasaran modal tempatan dan keutuhan nilai mata wang ringgit.


“Sekiranya Amerika Syarikat dan China dapat mencapai muafakat di dalam perundingan perdagangan mereka, maka sentimen di pasaran modal dan nilai mata wang Malaysia dijangka akan meningkat lagi.


“Akan tetapi, sebaliknya akan berlaku jika rundingan tersebut gagal. Kerajaan Malaysia sedang memantau perkembangan global ini dengan rapi dan bersedia untuk bertindak jika perlu demi menjaga kesejahteraan rakyat,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]

4,000 peserta dijangka imarah Malaysia #QuranHour esok

in Nasional by


SHAH ALAM – Seramai 4,000 peserta dijangka bakal mengimarahkan kempen Malaysia #QuranHour 1439H/2018 yang dijalankan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, esok.


Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, penyertaan kempen tersebut dijangka bukan hanya di kalangan orang awam, malah institusi pengajian tinggi, sekolah serta syarikat dan agensi kerajaan.


“Alhamdulillah, persiapan telah dijalankan dan kita jangka seramai 4,000 peserta akan hadir esok termasuklah jemputan khas iaitu Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari serta Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid.


“Harapan kita agar kempen kali ini bukan hanya menjadi satu acara tahunan semata-mata, tapi ia merupakan satu gelombang yang digerakkan untuk menghayati isi kandungan 114 surah di dalam al-Quran yang dilakukan secara berperingkat,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.


Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi orang ramai yang tidak berkesempatan untuk menyertai kempen tersebut dilokasi utama, mereka boleh sertai di lokasi lain yang berdekatan.


“Setakat hari ini kita dimaklumkan terdapat lebih 1,000 lokasi di seluruh negara yang turut serta kempen ini.


“Jadi orang ramai boleh memilih lokasi yang berdekatan dengan mereka untuk sama-sama menghidupkan gelombang interaksi dengan al-quran ini,” katanya.


Pada masa sama, beliau turut meminta peserta yang hadir ke lokasi utama supaya datang lebih awal untuk melancarkan perjalanan kempen tersebut.


“Seawal jam 10.30 pagi kita telah bersedia menerima kehadiran peserta tapi bagi mereka yang boleh hadir lebih awal, ia amat dialu-alukan.


“Selain itu, kita juga meminta peserta yang hadir akan membawa al-Quran terjemahan supaya bersama-sama dapat manfaat yang lebih daripada kempen ini,” katanya.


Aktiviti berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal ini julung kali diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam bermula jam 10.30 pagi hingga 1 petang.


Malaysia #QuranHour kali ke-4 ini bertemakan 9 Budaya Membina Tamadun yang diambil daripada Surah al-Naml.


Surah tersebut menjadi kesinambungan penghayatan Surah al-Hujurat bagi World #QuranHour pada 7 Jun lalu, iaitu dari sebuah pemupukan sahsiah diri dan etika sosial kepada kaedah membangun tamadun dalam membina sistem pentadbiran sesebuah keluarga, komuniti, organisasi dan negara.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]

Belanjawan 2019: Rakyat boleh salur cadangan

in Nasional by


PUTRAJAYA – Kerajaan mengalu-alukan pandangan rakyat Malaysia bagi proses penyediaan Belanjawan 2019 yang akan dibentang pada 2 November ini.


Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, cadangan itu boleh disalurkan ke laman sesawang belanjawan2019.treasury.gov.my.


“Laman ini akan mula beroperasi dari 28 Ogos sehingga 30 September 2018. Anda juga boleh berkongsi idea dengan Kerajaan Persekutuan di Facebook, Instagram dan Twitter dengan menggunakan tanda pagar #belanjawan2019,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Katanya, kementerian juga sedang memperhebatkan perbicangan dengan pelbagai pihak berkaitan bagi mendapatkan input dalam menyediakan Belanjawan 2019.


“Beberapa sesi perbincangan focus group telah dijadualkan berlangsung dari bulan Ogos ke September dan perbincangan tersebut akan menyentuh beberapa perkara penting, termasuklah pasaran buruh tempatan, kualiti sistem pendidikan negara, pertumbuhan mapan dan kos sara hidup di kalangan masyarakat miskin di bandar.


“Wakil-wakil industri, badan-badan profesional, badan-badan bukan kerajaan serta agensi-agensi kerajaan akan menyertai perbincangan ini yang bertujuan menyejahterakan rakyat Malaysia,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]

Pelajar SK Presint 9 (1) serah kad ucapan khas kepada PM

in Nasional by


PUTRAJAYA  – Seramai 10 wakil pelajar Sekolah Kebangsaan Presint 9 (1) Putrajaya menyerahkan kad ucapan khas kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sempena Hari Kebangsaan ke-61 yang akan di sambut pada 31 Ogos ini.


Kad ucapan tersebut diserahkan kepada dua Setiausaha Politik Perdana Menteri iaitu Datuk Mohamad Nuhairi Rahmat dan Abu Bakar Yahya masing-masing mewakili perdana menteri yang ketika ini mempunyai jadual yang padat.


Mohamad Nuhairi berkata, pihaknya melahirkan rasa terharu dengan kehadiran wakil pelajar sekolah berkenaan sekaligus menunjukkan semangat mereka yang mahukan Malaysia terus aman, maju dan makmur.   


“Pada masa sama, untuk memastikan negara terus berkembang maju, ilmu adalah penting. Jadi semangat untuk menimba ilmu itu harus ada dalam kalangan para pelajar menerusi budaya membaca,” katanya hari ini selepas menerima kad ucapan berkenaan di Lobi Bangunan Perdana Putra  .


Sementara itu, Abu Bakar menyifatkan asas pembangunan masyarakat dan negara antaranya adalah bermula di peringkat sekolah.


Justeru, semangat cinta dan sayang kepada negara katanya harus ditanam sebaik-baiknya di peringkat awal lagi.


“Bagaimanapun, untuk mencintai dan memperkasakan negara, semua rakyat perlu bantu diri sendiri terlebih dahulu dengan melengkap ilmu pengetahuan dan keupayaan diri, ujarnya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]

Soi Lek dijangka bantu kempen Chee Teong

in Politik by


BALAKONG – Bekas presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek dijangka akan membuat kemunculan semula dalam arena politik selepas menyatakan hasrat untuk membantu kempen calon parti itu pada PRK Dun Balakong.


Calon MCA, Tan Chee Teong memaklumkan beliau ada menerima pesanan melalui aplikasi WhatsApp daripada Soi Lek yang turut memberi kata semangat.


“Sama ada beliau (Soi Lek) akan turun atau tidak adalah bergantung pada masanya. Bukan sahaja Soi Lek sahaja tetapi ramai lagi pimpinan MCA turut menyatakan perkara sama,” katanya ketika diminta mengulas sama ada Soi Lek ada menghubunginya untuk membantu kempen PRK Dun Balakong.


Chee Teong berkata, beliau percaya MCA boleh membuatkan Malaysia jadi lebih baik untuk semua bangsa.


“Paling penting golongan B40 harus dijaga. Kawasan saya ini terlalu banyak B40,” katanya.


Sementara itu, Chee Teong sekali lagi menegaskan pendiriannya untuk memperjuangkan isu pemansuhan tol yang selalu dibangkitkan oleh masyarakat Dun Balakong.


“Penduduk di Balakong terkesan dengan masalah itu apabila lokasi kediaman mereka ‘terkepung’ dengan tol,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan MCA, sebentar tadi.


Pada sidang media itu, turut kelihatan jentera MCA dari Johor yang bersama membantu kempen anak jati Balakong itu berhadapan calon PH, Wong Siew Ki.


Sebelum ini, media melaporkan Soi Lek akan kembali semula ke dalam parti berkenaan dan berhasrat untuk bertanding semula jawatan sebagai presiden parti.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]

Peningkatan mendadak kes HFMD seluruh negara

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Terdapat peningkatan mendadak dengan 55,860 kes Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) dicatatkan di seluruh negara sejak 1 Januari hingga 27 Ogos lalu, berbanding 25,070 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu.


Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye memberitahu Dewan Negara hari ini, ini termasuk kes yang dilaporkan di Pulau Pinang  sebanyak 3,767 kes, Negeri Sembilan 2,388 kes dan Terengganu 875 kes.


Menjawab pertanyaan Senator Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin mengenai jumlah terkini mangsa yang menghidapi penyakit HFMD di seluruh negara, Dr Lee berkata  hampir 89 peratus daripada kes yang dilaporkan membabitkan kanak-kanak berumur bawah tujuh tahun.


Sehingga kini kematian berkaitan HFMD yang dilaporkan kekal dua kes membabitkan kanak-kanak masing-masing di Sarawak dan Pulau Pinang. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]

Mawilla 2 ke Sandakan mantapkan kawalan keselamatan

in Edisi Sabah Sarawak by


SANDAKAN – Perpindahan Markas Wilayah Laut (Mawilla) 2 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke Sandakan dilaksanakan untuk memantapkan perintah dan kawalan pertahanan serta pengurusan keselamatan maritim di  perairan timur Sabah.


Panglima Mawilla 2, Laksamana Muda Datuk Ganesh Navaratnam berkata perairan timur negeri ini meliputi Laut Sulu dan Laut Sulawesi merupakan satu daripada laluan maritim utama rantau ini.


Katanya kawasan timur Sabah juga menyumbang kepada ekonomi negeri Sabah khususnya dalam aspek industri kelapa sawit, pelancongan dan perikanannya.


“Kesemua ini menunjukkan betapa pentingnya kawasan tanggungjawab di bawah pemerintahan Wilayah Laut 2,” katanya pada perbarisan dan menyampaikan perutusan ulung Panglima Wilayah Laut 2 di sini, hari ini.


Ganesh dilantik sebagai Panglima Mawilla 2 pada 22 Jun lepas menggantikan Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob yang dilantik sebagai Panglima Armada Timur di pangkalan TLDM Kota Kinabalu.


Menurutnya markas pemerintahan Wilayah Laut 2 mulanya diwujudkan di Labuan pada 1966 bagi menjaga kepentingan maritim negara di perairan Sabah, Sarawak dan Laut China Selatan.


Namun, katanya, pada 2006, lokasi markas ini dipindahkan ke Pangkalan TLDM Kota Kinabalu sejajar dengan pertambahan aset dan perkembangan terkini TLDM serta peningkatan kepentingan maritim negara di perairan terbabit.


Markas ini sekali lagi  dipindahkan lokasinya ke pangkalan TLDM Sandakan yang secara rasmi beroperasi bermula 17 Oktober tahun lepas, katanya.


Ganesh berkata berpandukan kepada dasar pengoperasian Mawilla 2 yang dikeluarkan oleh Panglima Armada Timur pada 17 Oktober tahun lepas, peranan anggota TLDM di markas itu adalah untuk  mempertahankan kedaulatan dan keselamatan maritim di perairan Sabah. – Bernama


Source: SH Edisi Sabah Sarawak

[featured-video-plus]

Ismail mulakan tugas hari pertama sebagai KSN

in Nasional by


PUTRAJAYA –  Datuk Seri Dr Ismail Bakar hari ini memulakan hari pertamanya sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) dengan berazam untuk memperkasakan sistem penyampaian perkhidmatan awam dengan memberi penekanan terhadap pengurusan kos yang lebih cekap dan berkesan.


Pejabat Ketua Setiausaha Negara dalam satu kenyataan hari ini menyatakan Ismail dalam satu taklimat ringkas berikrar untuk sentiasa menegakkan integriti dan memegang prinsip kebenaran dalam menjalankan tugasnya.


Ismail, 58, mengimbas kad kehadiran pada 7.25 pagi di Pejabat Ketua Setiausaha Negara di sini, menurut kenyataan itu.


Ismail yang sebelum ini Ketua Setiausaha Perbendaharaan dilantik sebagai KSN yang baharu menggantikan Tan Sri Dr Ali Hamsa, 63, yang kontrak perkhidmatannya tamat semalam. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]

1 3 4 5 6 7 404
Kembali UTAMA