Monthly archive

August 2018 - page 6

Perang perdagangan China, AS beri manfaat kepada Malaysia

in Bisnes by


KUALA LUMPUR – Perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat (AS) memberi kesan yang positif kepada Malaysia.


Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri,  Dr Ong Kian Ming berkata, minat syarikat daripada kedua-dua negara terbabit untuk melabur di negara ini semakin meningkat susulan perkembangan terkini itu.


“Saya rasa minat untuk melabur di Malaysia semakin meningkat selepas PRU14 dan sekarang akibat perang perdagangan antara China dan AS minat antara syarikat dari kedua-dua negara melabur di Malaysia semakin meningkat,” katanya pada persidangan Dewan Negara hari ini.


Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Senator Datuk Chai Kim Sen berhubung implikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang boleh dimanfaatkan Malaysia bagi menangani kesan negatif perang perdagangan.


Ong berkata kementerian itu pada masa ini sedang membuat penilaian sama ada CPTPP boleh membawa lebih manfaat dari segi menarik pelaburan asing akibat dari perang perdagangan tersebut.


Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan setakat ini masih belum membuat keputusan berhubung CPTPP.


“Saya rasa memang ada kebaikannya dari segi kita boleh memasuki pasaran baharu sungguhpun AS telah menarik diri, kita masih ada tiga pasaran baharu iaitu Kanada yang merupakan ekonomi ke-10 terbesar dunia, Mexico yang merupakan ekonomi ke-15 terbesar dan juga Peru,” katanya.


Beliau berkata Kanada dan Mexico juga memiliki hubungan ekonomi yang rapat dengan AS di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (Nafta) dan ia boleh dijadikan papan loncatan untuk syarikat Malaysia memasuki pasaran besar ini termasuk di AS.         “Perkara-perkara ini perlu dipertimbangkan oleh kerajaan sebelum keputusan dibuat sama ada mahu ratifikasi  CPTPP atau tidak,” katanya.


Ong berkata sehingga kini hanya tiga negara iaitu Mexico, Jepun dan Singapura yang telah  melengkapkan proses ratifikasi masing masing.


Menurutnya, penguatkuasaan akan terlaksana pada awal 2019 sekiranya enam negara daripada 11 ahli perjanjian CPTPP menyelesaikan ratifikasi domestik masing masing. – Bernama


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]

Empangan pecah tenggelamkan perkampungan di Myanmar

in Global by


YANGON – MYANMAR. Insiden empangan pecah di tengah Myanmar hari ini menenggelamkan bandar Swar, dua perkampungan serta lebuh raya yang menghubungkan tiga bandar terpenting negara itu, kata jabatan bomba.


Tiga bandar penting itu ialah Yangon, Mandalay dan ibu kota Naypyitaw.


Susulan insiden, Jabatan Perkhidmatan Bomba Myanmar memulakan operasi mencari dan menyelamat serta menghantar jentera ke kawasan sekitar empangan Swar.


Jabatan berkenaan turut menutup jambatan lebuh raya Yangon-Mandalay di kawasan itu.


Ketua komander tentera Myanmar, Min Aung Hlaing dilaporkan turut berada di lokasi kejadian menurut muat naik video di Facebook oleh akhbar tempatan, Kumudra. -Reuters


Source: SH Global

[featured-video-plus]

AG pertimbang pinda pertuduhan 442 tahanan Sosma

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Peguam Negara (AG) atas kedudukan beliau sebagai Pendakwa Raya mempertimbangkan sama ada Jabatan Peguam Negara boleh meminda pertuduhan terhadap 442 orang yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).


Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin berkata proses itu akan mengambil masa oleh kerana ia perlu ditangani mengikut kes.


“Kanun Tatacara Jenayah (dan bukan SOSMA) akan menentukan aspek prosedur jika pertuduhan itu dipinda. Pendakwa Raya akan memberi keutamaan kepada pesalah wanita dan juvana.  Begitu juga, tahanan yang sakit atau lemah,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Mohamed Hanipa berkata selepas pertuduhan dipinda, tertuduh boleh sama ada mengaku bersalah atau minta dibicarakan.


Sejumlah 442 orang ditahan di bawah Seksyen 13 Sosma kerana didakwa menjadi anggota pelbagai kumpulan jenayah terancang, atau bersekongkol atau membantu kumpulan seperti itu.


Mohamed Hanipa berkata setakat 27 Ogos tahun ini, 22 orang ditahan di bawah Seksyen 13 Sosma kerana didakwa melakukan kesalahan berkaitan keganasan.


Kenyataan timbalan menteri itu dikeluarkan susulan mogok lapar oleh beberapa orang tahanan Sosma di Penjara Sungai Buloh (sejak Jumaat lepas) dan Penjara Pulau Pinang  (sejak Selasa) untuk mendesak kerajaan supaya memansuhkan Sosma.


Mohamed Hanipa berjumpa tahanan Sosma di Penjara Sungai Buloh pada Ahad lepas untuk memujuk mereka supaya menamatkan mogok lapar, dan kemudian merujuk kepada AG berhubung penahanan mereka di bawah Sosma.


Beliau berkata, mengenai pertuduhan jenayah terhadap mereka, “ia sebaiknya ditangani AG mengikut budi bicaranya berdasarkan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan sehinggalah Kabinet membuat keputusan muktamad berkaitan Ssoama”. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]

ECRL: Kos RM10 bilion tak realistik

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan tawaran membina projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dengan kos hanya RM10 bilion.


Beliau yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, kos tersebut tidak realistik kerana hanya menelan RM14.5 juta untuk setiap kilometer (km) bagi projek yang melibatkan jajaran dengan jarak 688 km itu.


“Perdana Menteri berkata terdapat syarikat tempatan yang boleh membina ECRL pada kos RM10 bilion sahaja. Bagi jarak 688 km, ia bermasuk kos hanya RM14.5 juta bagi setiap kilometer.


“Adakah harga ini realistik jika dibandingkan dengan projek-projek lain?,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.


Najib turut menyertakan beberapa contoh kos projek keretapi di negara lain antaranya projek keretapi laju menghubungkan lapangan terbang Suvarnabhumi, Don Mueang and U-Tapao di Thailand dengan jajaran 260 km dan melibatkan kos RM113 juta bagi setiap kilometer.


Manakala, projek keretapi laju Indonesia dari Jakarta ke Bandung dengan jajaran 250 km menelan kos RM96.8 juta bagi setiap kilometer.


Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir dalam wawancara dengan The Malaysian Insight berkata, kerajaan menerima tawaran membina ECRL yang akan menghubungkan Kelantan ke Pelabuhan Klang dengan kos serendah RM10 bilion.


Menurut Mahathir, adalah bodoh jika tidak menerima tawaran tersebut kerana dapat mengurangkan kos ECRL daripada RM55 bilion kepada RM10 bilion.


Dalam kenyataan sama, Najib turut meminta Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menjelaskan mengenai kos ECRL yang dikatakan hanya RM30 bilion berbanding RM50 bilion.


“Melalui banyak kenyataan sejak dua tahun dahulu sehingga hari ini, PH tetap bertegas bahawa kos sebenar projek ECRL adalah RM30 bilion dan berdasarkan nomber RM30 bilion ini, mereka menuduh kos RM55 bilion adalah terlalu mahal dan sengaja dinaikkan.


“Saya perlu tanya soalan ini kepada Menteri Kewangan, dari mana beliau mendapat angka itu, berapa kilometer bagi nilai RM30 bilion itu dan unjuran kos itu diperolehi dari tahun bila? Kerajaan hari ini tidak sepatutnya menggunakan angka kos untuk membuat dakwaan yang mereka sendiri tak berupaya membuktikannya atau dengan sokongan fakta,” katanya.


Menurut Najib, kos RM30 bilion adalah berdasarkan kajian pada 2009 bagi jajaran berbeza dan adalah bagi jarak 545 km.


“Ia tidak mencakupi jajaran Gombak ke Pelabuhan Klang, di mana tujuh tahun kemudian apabila ECRL dianugerahkan pada 2016, tukaran matawang kita lemah dan ia melibatkan jajaran dengan jarak 688 km termasuk segmen bagi Pelabuhan Klang.


“Adakah kos RM30 bilion yang sering disebut PH ialah berdasarkan laporan tahun 2009 ini yang banyak berbeza dengan projek kos RM55 billion tujuh tahun kemudian,” katanya.


Ahli Parlimen Pekan itu juga membidas Guan Eng yang mengatakan kos ECRL mencecah RM81 bilion termasuk kos faedah dan operasi.


“Ia diibaratkan seperti membeli kereta pada harga RM55,000, kemudian memasukkan kos minyak, kos sewa beli, kos penyelenggaraan, kos insurans sepanjang hayat kereta itu dan cakap kos kereta itu ialah RM81,000.


“Apabila negara lain mengumumkan tentang projek rel masing-masing, mereka tidak memasukkan kos faedah dan operasi seumpama itu. Untuk itu, Malaysia seharusnya melakukan perkara yang sama,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]

Pas prihatin nasib semua kaum

in Politik by


PETALING JAYA – Pas adalah sebuah parti yang prihatin dan sentiasa memberi perhatian terhadap nasib seluruh kaum di negara ini.


Calon Pas PRK Dun Seri Setia, Dr Halimah Ali berkata, dakwaan yang mengatakan bahawa Pas hanya memberi tumpuan kepada satu kaum sahaja adalah tidak benar berikutan terdapat pelbagai program yang telah dirangka membabitkan penglibatan daripada pelbagai kaum sebelum ini.


“Saya sendiri sebagai Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional dan Biro Solidariti Pas Selangor sememangnya telah merancang dan melaksanakan banyak aktiviti bersama pelbagai kaum.


“Kita kena beri perhatian khusus dan layanan seadanya kepada golongan bukan Melayu memandangkan perkara ini turut termaktub di dalam perlembagaan Pas,” katanya ketika sidang media hari ini.


Halimah berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Pusat Media PRK Dun Seri Setia di Bangunan Tabung Haji Kelana Jaya.


Dalam pada itu, Halimah juga memberi jaminan akan menumpukan perhatian kepada semua kaum di Dun Seri Setia sekiranya dipilih selepas ini sejajar dengan perlembagaan parti.


Katanya, sewaktu berkhidmat sebagai Adun Selat Klang sejak 2008 lalu, beliau telah berkhidmat buat semua kaum di kawasan terlibat bagi membantu membela nasib rakyat secara keseluruhan.


“Sebagai contoh di Pulau Ketam, kawasan itu mempunyai kira-kira 99 peratus masyarakat Cina namun dalam setiap perayaan mereka, saya akan turut sama turun padang bagi meraikan mereka.


“Sepanjang kira-kira 10 tahun berkidmat sebagai Adun sebelum ini, saya sentiasa meraikan kepelbagaian kaum, agama dan bangsa,” katanya.


Halimah berkata, beliau tidak mempunyai masalah untuk meneruskan tradisi sedemikian di Dun Seri Setia selepas ini bagi memberi perkhidmatan kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama dan bangsa.


“Pas bukan ekstrimis dan Pas menentang ekstremisme.


“Dan jika saya dipilih, saya akan bawa suara seluruh rakyat di dalam Sidang Dun selepas ini,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]

Pendaftaran parti politik di bawah kuasa SPR

in Politik by


PUTRAJAYA – Pendaftaran parti politik dicadangkan diletakkan di bawah kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).


Ia adalah antara kerangka undang-undang dalam agenda pembaikan yang akan dilakukan oleh Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan undang-undang Pilihanraya (ERC).


Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rashid Ab Rahman berkata, selain pendaftaran parti yang kini diletakkan di bawah kuasa  Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), pihaknya turut mencadangkan agar  SPR mempunyai kuasa untuk mengawal selia aktiviti parti politik.


AKAN MENYUSUL


Source: SH Politik

[featured-video-plus]

Formasi bentuk hati barakan semangat patriotik

in Uncategorized by


IPOH – Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Mengambil pendekatan itu, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Min Sin di sini membuat formasi berbentuk hati yang julung kali diadakan sempena sambutan Bulan Kebangsaan.


Guru besarnya, Ng Kit Chee berkata, inisiatif itu diambil bagi menyemarakkan lagi semangat patriotisme di kalangan anak murid dan guru di sekolah berkenaan.


“Pihak sekolah berharap melalui acara ini murid-murid dapat mengeratkan perpaduan sesama mereka memandangkan sekolah ini mempunyai murid daripada pelbagai kaum termasuk Iban, Kadazan dan Bidayuh.


“Sejak sekolah ini ditubuhkan lebih 100 tahun lalu ini merupakan kali pertama program sebegini diaturkan melibatkan 297 murid dan 35 guru termasuk guru pelatih,” katanya kepada pemberita di sini kelmarin.


Beliau berkata idea untuk membuat formasi berbentuk hati itu tercetus hasil daripada perbincangan semua guru di sekolah berkenaan.


Menurut Kit Chee, selain acara berkenaan pihak sekolah turut menganjurkan pertandingan melukis poster sempena sambutan Bulan Kebangsaan.


Bagi murid Tahun Enam, Marvic Nick Mierza, 12, program sedemikian pengalaman yang menarik buat dirinya.


“Seronok dapat bersama kawan-kawan menyanyikan lagu patriotik dan membuat logo berbentuk hati,” katanya.


D. Vasigaran, 12, pula berkata, program sedemikian kenangan manis buatnya apabila dapat melakukan sesuatu yang lain daripada kebiasaan.


“Saya rasa seronok sebab selalu kami hanya melukis atau mewarna, kali ini kami buat formasi bentuk hati untuk tunjukkan semangat cintakan negara,” katanya. – Bernama


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]

Larangan sewa rumah mampu milik pada warga asing

in Politik by


PETALING JAYA – Calon PH, Halimey Abu Bakar menegaskan bahawa setiap unit kediaman mampu milik yang diperuntukan untuk rakyat di sekitar kawasan Dun Seri Setia dilarang untuk disewakan kepada kepada warga asing.


Beliau berkata, pihaknya perlu bertegas dalam perkara ini berikutan terdapat banyak kes penyalahgunaan membabitkan perumahan mampu milik telah dikesan sebelum ini oleh Kerajaan Selangor.


“Perbuatan menyewakan kediaman kepada warga asing ini adalah pengkhianatan kepada usaha kerajaan untuk membantu masyarakat setempat.


“Apatah lagi Dun Seri Setia merupakan antara kawasan yang dibanjiri oleh warga asing,” katanya ketika sidang media hari ini.


Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Halimey berkata pembinaan lebih banyak perumahan pekerja industri seperti di Zon Perindustrian Sungai Way dilihat sedikit sebanyak dapat membantu dalam mengatasi permasalahan ini.


Beliau berkata, pembinaan perumahan sebegini dilihat dapat dijadikan kediaman berkelompok untuk menempatkan pekerja asing yang menetap di sekitar kawasan ini.


“Di samping itu, ia juga dapat menghidarkan pihak terlibat daripada memonopoli kediaman rakyat di kawasan ini seperti yang berlaku pada hari ini,”katanya.


Dalam pada itu, Halimey memaklumkan bahawa antara keutamaan beliau sekiranya dipilih selepas ini adalah untuk memberi perhatian serius dalam mengatasi isu perumahan rakyat yang telah lama menjadi masalah penduduk di sini.


Halimey berkata, pihaknya akan menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memperbanyakkan lagi pembinaan rumah mampu milik di kawasan Dun ini.


“Walaupun terdapat kekangan iaitu kawasan tapak yang terhad, namun saya percaya setiap masalah akan ada penyelesaiannya,”katanya.


Tambah beliau, pihaknya juga akan mencadangkan supaya kawasan perumahan lama seperti Kampung Lindungan dapat dibangunkan semula selepas ini supaya bertepatan dengan keperluan semasa.


“Pembangunan semula kawasan perumahan ini boleh mencontohi projek pembangunan semula yang telah dilaksanakan di Kampung Kerinchi dalam kawasan Lembah Pantai,”katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]

Angka korban letupan bom di Isulan meningkat

in Global by


COTABATO – FILIPINA. Angka korban letupan bom dalam satu festival jalanan tempatan di selatan Filipina semalam, mengorbankan dua orang termasuk kanak-kanak, manakala 37 yang lain dilaporkan cedera.


Menurut polis, siasatan sedang dijalankan namun terdapat dakwaan serangan dilakukan militan Daesh.


Letupan berlaku berhampiran sebuah pasar malam di Isulan, wilayah Sultan Kudarat, menyebabkan orang ramai lari bertempiaran.


[ARTIKEL BERKAITAN: Seorang maut, lebih 30 cedera serangan bom selatan Filipina]


Wilayah itu terletak di pulau kedua terbesar Filipina di Mindanao yang berada di bawah undang-undang tentera sehingga penghujung tahun ini susulan pendudukan lima bulan di Bandar Marawi pada 2017 oleh sekutu pemberontak yang mempunyai kaitan dengan militan Daesh.


Pengeboman terbaharu itu berlaku sebulan selepas letupan van yang mengorbankan 11 orang termasuk empat orang awam di Basilan. -Reuters/AFP


Source: SH Global

[featured-video-plus]

Atlet papan selaju Malaysia dikejar ke hospital

in Sukan by


PALEMBANG – Atlet papan selaju Malaysia, Christina Lai Grace terpaksa dikejarkan ke hospital selepas mengalami kecederaan ketika sesi pemanas badan sebelum final acara Park wanita Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, hari ini.


Atlet muda berusia 13 tahun itu yang berpotensi untuk meraih pingat, mengalami kecederaan di bahagian pinggul  sebelum acara itu bermula di SkakeBoard Stadium, Jakabaring Sports City di sini.


Christina terjatuh ketika sedang membuat latihan bersama-sama lima lagi peserta aksi final pada pagi ini, dan diberi rawatan awal oleh pegawai perubatan di gelanggang.


Atlet kelahiran Kuala Lumpur itu kemudian diusung keluar dari gelanggang ke bilik perubatan di venue untuk pemeriksaan lanjut, sebelum dibawa ke hospital menaiki ambulans, sekali gus terlepas aksi final.


Timbalan Ketua Kontinjen negara ke Sukan Asia (Palembang), Datuk Dr SS Cheema, yang dilihat sempat memeriksa Christina sebelum pasukan medik membawa atlet itu ke hospital, berkata kecederaan itu tidak begitu serius, tetapi keputusan tepat hanya boleh diperoleh selepas imbasan  X-ray dan ujian pengimejan resonans magnetik (MRI).


“Amat malang kerana beliau terjatuh sebelum bermulanya acara (final)… beliau berasa agak sakit terutama di pinggul dan bahagian bawah belakang. Saya ada memeriksanya, tampak tidak teruk, saya minta mereka (pasukan medik) buat X-ray dan MRI.


“Beliau seorang atlet yang bersemangat tinggi, beliau menangis bukan kerana sakit tetapi tidak dapat beraksi pada final. Saya beritahunya yang beliau masih ada masa yang panjang dalam sukan ini, pergi buat pemeriksaan dan kembali semula dan teruskan perjuangan dalam sukan ini dengan gembira.


“Diharapkan beliau akan sembuh, tetapi pastinya tidak dapat menyertai pertandingan ini, membuatkan kami dan rakyat Malaysia berasa hampa,” kata Dr Cheema yang merupakan seorang doktor di Kuala Lumpur.


 Sementara itu, jurulatih negara, Johari Fitry Khairrudin yang lebih dikenali sebagai Joe Ipoh, berharap Christina akan sembuh secepat mungkin untuk meneruskan penyertaan dalam sukan ekstrem itu.


“Tadi saya pun tak berapa nampak kerana duduk di tempat penonton, masa dia ‘fly’ itu, mungkin dia terjatuh. Memang kecewa, tetapi harap-harap dia sembuh cepat,” katanya.


Sukan papan selaju atau skateboard buat kali pertama dipertandingkan di Sukan Asia pada kali ini dan bakal diperkenalkan pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.- Bernama


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]

1 4 5 6 7 8 404
Kembali UTAMA