PORTAL SINARHARIAN

Monthly archive

September 2018

Hadi ‘puji’ Tun M, ‘kritik’ Anwar

in Politik by


TELUK KEMANG – Sebelum PRU14, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang acap kali mengkritik Tun Dr Mahathir Mohamad malah ia berlanjutan waima selepas PRU14.


Namun, sejak beberapa hari lepas, kelantangan Ahli Parlimen Marang itu tidak begitu ketara malah dalam Ceramah Perdana Pas di Port Dickson, malam tadi, beliau mengakui kadangkala bersetuju dengan tindakan perdana menteri.


Malah, jika diamati sebaiknya bait-bait ucapan beliau, Ahli Parlimen Marang itu seolah-olah ‘memuji’ Dr Mahathir namun dalam masa sama mengkritik Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


“Walaupun saya tak separti dengan beliau (Dr Mahathir), tak setuju dalam banyak perkara tapi beliau mengepalai PH dalam PRU14 sehingga berjaya menukar kerajaan.


“Yang nak jadi PM (Perdana Menteri) ini (merujuk kepada Anwar), dia melompat sana-sini, memilih kawasan yang 60 peratus bukan Islam, 40 peratus orang Islam.


“Mengapa tak berani bertanding kawasan yang majoriti orang Islam,” katanya ketika berucap dalam Ceramah Perdana Pas sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, di sini, malam tadi.


Tidak terhenti di situ, Abdul Hadi turut ‘memuji’ keputusan Dr Mahathir yang mengambil langkah penyelesaian terbaik semasa negara menghadapi krisis kewangan dulu.


“Masa krisis kewangan dulu, calon PM ini, dia jadi Menteri Kewangan, nak selesaikan di bawah IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa), nak ikut teladan negara lain tunduk kepada Barat.


“Tun Mahathir tak setuju dengan tindakan Menteri Kewangan pada waktu itu. Beliau ambil langkah penyelesaian tanpa kebergantungan kepada IMF,” ujarnya.


Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi berharap penduduk Port Dickson memilih sebaiknya pemimpin mereka kelak.


“Islam ada adab dalam memilih pemimpin. Ia adalah amanah yang besar.


“Tidak boleh diberikan kepada orang yang berprinsip ‘opportunis’ (ambil peluang).


Source: SH Politik

[featured-video-plus]

Bomba siap siaga hadapi banjir

in Edisi by


KUALA TERENGGANU – Tahap persediaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi menghadapi banjir di seluruh negara terutama kawasan pantai timur telah pun mencapai 100 peratus.


Ketua Pengarah JBPM, Mohammad Hamdan Wahid berkata, di pantai timur, JBPM telah bersedia 100 peratus dari segi logistik dan tenaga manusia termasuklah peralatan marin yang telah diselenggara bagi menghadapi bencana banjir.


“Di pantai timur kita telah bersedia 100 peratus, saya berani bercakap kerana alatan logistik melalui postmoterm daripada kejadian lepas dan atur strategi telah dibuat tetapi dalam keadaan banjir ia bergantung kepada ekstrem atau tak.


“Kalau tak ekstrem (banjir) hanya melibatkan beberapa agensi tapi kalau ekstrem dan disahkan sebagai bencana, kita kena ikut arahan Majlis Keselamatan Negara, jadi ini memang sudah ada dalam prosedur operasi standard (SOP) kita,” katanya kepada media selepas ditemui pada Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Aktiviti Air Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2018 di Pulau Warisan, di sini.


Mohammad Hamdan berkata, dari segi latihan pengurusan insiden dan bencana juga telah dibuat di akademi melibatkan pegawai-pegawai di kawasan pro banjir seperti negeri pantai timur iaitu Pahang, Terengganu, Kelantan dan juga di Sabah, Sarawak serta Johor Bahru.


Dalam masa sama, jabatan berkenaan turut melatih orang awam melalui kursus pengurusan bencana komuniti di mana mempunyai seramai 16,000 orang yang telah menyertainya termasuk juga komuniti yang menetap di kawasan berisiko banjir.


Beliau turut berpesan,sekiranya terdapat amaran daripada pihak kaji cuaca, kerajaan dan agensi-agensi lain mengenai banjir, orang awam perlu bertindak segera dengan melihat tahap amaran tersebut.


“Kalau perlu pindah, mereka kena ikut peraturan itu kerana dalam kita buat kursus, kita dah kenalpasti data penduduk melalui ketua kampung, penghulu dan sebagainya bagi memastikan tiada mangsa yang terperangkap di dalam banjir terutama orang kurang upaya, warga emas dan juga orang sakit,” katanya.


Tambahnya, dalam siap siaga itu, kira-kira 10,000 pegawai  bomba seluruh negara akan bersiap sedia menghadapi bencana dan daripada jumlah itu seramai lebih kurang 4,500 di pantai timur yang biasanya turut dibantu oleh balai bomba dari Selangor, Perak dan Kuala Lumpur terlibat.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]

GV5 buka tirai, tiada penyingkiran di konsert pertama

in Hiburan by

GV5 buka tirai, tiada penyingkiran di konsert pertama


PERTANDINGAN nyanyian yang berjaya mencetuskan fenomena luar biasa, Gegar Vaganza (GV) kini kembali membuka tirai menerusi musim terbaharunya yang juga merupakan penganjuran edisi kelima bermula malam tadi.


GV5 tampil lebih menyengat dengan membariskan sembilan peserta solo lelaki dan wanita, selain tiga peserta berkumpulan yang juga merupakan kelainan yang dibawa untuk musim ini.


Mereka yang beraksi dalam GV5 terdiri daripada Amelina (Asyik), Norynn Aziz (Fantasi Oh Realiti), Safura Yaacob (Sedalam Mana Cintamu), Dia Fadilla (Aku Masih Setia), Hetty Sarlene (Sangsi Asmara) dan Maya Ruslee (Matahari).


Diikuti Farawahida (Tanpamu), Zamani Slam (Gerimis Mengundang), Syafie Rio (Layu Di Hujung Mekar), Elite (Tamparan Wanita), Billy Zulkarnain (Hati Terluka) dan Forteen (Berdua Beraatu).


Masing-masing tampil dengan persembahan hebat menerusi konsert pengenalan yang bertemakan ‘Oh Dia Ke..’ dengan menyanyikan lagu yang pernah menaikkan nama mereka sebelum ini.


Sebagaimana yang dijangka, pada konsert pertama ini tiada penyingkiran yang dilakukan, sekali gus membolehkan kesemua peserta meneruskan persaingan pada konsert kedua minggu depan.


Kesemua peserta diadili dua juri tetap, Datuk Ramli MS dan Datuk Khadijah Ibrahim, selain juri jemputan, Datuk AC Mizal.


Sementara itu, Nabil Ahmad dan Jihan Muse masih dikekalkan sebagai pengacara program yang disiarkan secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) ini.

 


Source: SH Hiburan 1

[featured-video-plus]

Srikandi Palestin terima penghormatan Real Madrid

in Global by


MADRID – SEPANYOL. Srikandi Palestin, Ahed Tamimi yang ditahan rejim Zionis dan menerima kecaman antarabangsa telah menerima penghormatan kelab bola sepak Sepanyol, Real Madrid.


Remaja berusia 17 tahun itu bersama bapanya, Basim Tamimi dijemput ke Stadium Santiago Bernabeu di Madrid di mana dia bertemu bekas penyerang Emilio Butragueno yang kemudiannya menyerahkan jersi bola sepak secara peribadi kepadanya.


Aktivis yang dikenali atas keberaniannya kerana menampar dan memukul tentera Israel di luar rumahnya di perkampungan Nabi Saleh di Tebing Barat kini berada di Eropah untuk siri jelajah politik.


Ahed dibebaskan dari penjara pada akhir Julai lalu selepas menjalani hukuman penjara lapan bulan.


Jurucakap Kementerian Luar Israel, Emmanuel Nahson bagaimanapun menyelar keputusan Real Madrid itu menerusi Twitter dan menyifatkan ia sebagai memalukan. – al- Jazeera


Source: SH Global

[featured-video-plus]

Pas bidas PRK Port Dickson

in Politik by


TELUK KEMANG – Pas membidas PRK Port Dickson hanya semata-mata seorang individu yang berhajat untuk berada di Parlimen hingga terpaksa mengorbankan wang rakyat bernilai RM3.6 juta.


Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata, PRK ini tidak ada kena mengena dengan tsunami, gempa bumi atau juga kematian dari bekas ahli parlimen kawasan ini.


Menurutnya, nilai RM3.6 juta ini adalah jumlah yang besar kerana ia mampu menampung tujuh pelajar dengan kos pembelajaran di fakulti perubatan di Mesir selama enam tahun.


“Tetapi kita terpaksa korbankan ini untuk membolehkan cita-cita politik individu untuk bertanding dalam PRK ini.


“Malah jumlah ini juga mampu menampung pembiayaan biasiswa kira-kira 30 pelajar tempatan di institut pengajian tinggi awam (IPTA) di fakulti sastera,” katanya dalam ceramah perdana, di sini, malam tadi.


Beliau berkata, tetapi apakan daya inilah PRK yang dipaksa dan RM3.6 juta ini adalah perbelanjaan untuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sahaja, tidak termasuk perbelanjaan bagi pejabat daerah dan polis.


Katanya, maka sebab itu, bagi merancakkan proses demokrasi, Pas masuk bertanding bagi mengisi kekosongan kerusi parlimen ini.


“Oleh itu, Pas telah meletakkan calon iaitu Mohd Nazari Mokhtar. Sekarang, ramai kawan kita telah tinggalkan perjuangan Pas, namun Nazari masih konsisten dengan prinsip biar pun ada usaha dari pihak luar mahu menarik beliau keluar dari parti,” katanya.


[ARTIKEL BERKAITAN: Pas pertaruh bekas anggota tentera di PRK PD]


Dalam nada sinis, Idris turut menjamin Nazari tidak akan meletak jawatan sebagai ahli parlimen sekiranya menang bagi memberi peluang kepada orang lain bertanding.


“Saya jamin, insyaALLAH sekiranya Nazari menang sebagai ahli parlimen, dia tidak akan letak jawatan bagi memberi saya bertanding,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]

Kehilangan besar kepada masyarakat Jerantut

in Edisi by


JERANTUT – Pemergian allahyarham Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak, 46,  satu kerugian besar kepada masyarakat Jerantut.


Ketua Umno Bahagian Jerantut, Datuk Nazri Ngah berkata, sepanjang hayat arwah, beliau telah memberikan sumbangan besar kepada pembangunan daerah dan negeri.


“Begitu juga sumbangannya dalam parti dan merupakan seorang pemimpin yang sentiasa ada dan banyak membantu ketika saat sukar


“Allahyarham pasti akan dikenang sebagai seorang yang berbudi kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.


Umno bahagian akan menghulurkan bantuan yang perlu kepada keluarga allahyarham dan menguruskan urusan pengebumian.


“Semoga semua anggota keluarga allahyarham tabah dan sabar menerima ujian ini.


“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ALLAH menempatkan bersama para solihin,” katanya.


[ARTIKEL BERKAITAN : Bekas Adun Tahan meninggal dunia di Sri Lanka]

 


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]

Tiga sebab perlu pilih calon Pas

in Politik by


SHAH ALAM – Pemuda Pas menggariskan tiga sebab pengundi muda perlu memilih calonnya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Port Dickson.


Pengarah Strateginya, Syahir Sulaiman berkata tiga perkara itu sebagai isyarat jelas daripada anak muda.


“Pertama sebagai isyarat anak muda tolak pembohongan dan kegagalan PH menunaikan janji manifesto seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), tol dan kos sara hidup.


“Kedua, isyarat anak muda tolak politik peribadi yang mempertaruhkan nasib rakyat, agama, bangsa dan negara, dengan pelbagai langkah sumbang.


“Ketiga, isyarat anak muda mahu perubahan sebenar, dengan memilih Islam sebagai penyelesaian dan meletakkan Islam di hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.


Pas meletakkan bekas pegawai tentera, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar, 57 bagi merebut kerusi Port Dickson selepas ia dikosongkan penyandangnya bagi memberi laluan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding.


[ ARTIKEL BERKAITAN: Pas pertaruh bekas anggota tentera di PRK PD ]


Source: SH Politik

[featured-video-plus]

Minta kerajaan kaji cadangan hukuman sebat pelaku rasuah

in Nasional by


PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta supaya kerajaan membuat pertimbangan dan kajian terhadap cadangan suruhanjaya itu untuk melaksanakan hukuman sebat ke atas pesalah rasuah.


Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata cadangan hukuman sebat itu secara langsung mencerminkan usaha serius pihaknya untuk membanteras rasuah secara habis-habisan.


“Kalau kesalahan menipu boleh dikenakan hukuman sebat mandatori apatah lagi jenayah rasuah… ia lebih ‘deterrent’ (bersifat pencegahan),” katanya kepada media selepas menghadiri majlis bacaan Yasin dan tahlil sempena sambutan ulang tahun penubuhan SPRM ke-51 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini malam ini.


Jelasnya buat masa ini mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009  hukuman dikenakan ke atas pesalah rasuah hanyalah sehingga maksimum penjara 20 tahun, (selain denda).


“Penjara 20 tahun ini adalah maksimum, tetapi kebanyakan mereka akan merayu di mahkamah hingga ada yang dipenjarakan selama hanya sehari,” katanya.


Tegas beliau jenayah rasuah adalah antara punca merebaknya jenayah-jenayah lain dan seharusnya hukuman sebat tersebut dikaji secara mendalam.


“Saya serius berkenaan cadangan tersebut,” katanya.


Dua hari lalu, Mohd Shukri mencadangkan kerajaan meminda akta supaya perasuah dikenakan hukuman lebih berat seperti sebatan dalam usaha memerangi rasuah habis-habisan. -Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]

Tinggal dua minggu sahaja serah lesen terbang

in Nasional by


SEREMBAN – Pemegang lesen terbang hari ini diingatkan mereka mempunyai masa dua minggu sahaja lagi untuk menyerahkan lesen masing-masing kepada Unit Integriti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri atau berdepan dengan tindakan.


Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, JPJ mempunyai maklumat terperinci mengenai identiti mereka.


“Kita sudah ingatkan (sebelum ini) semua pemegang atau pembeli lesen terbang supaya kembalikannya kepada JPJ,” katanya kepada pemberita pada majlis pesta tanglung di sini, hari ini.


Maklumat mengenai lesen terbang terbongkar selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 12 pegawai dan anggota JPJ dari Perlis, Perak, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak sejak 4 Sept lalu.


Selepas tangkapan itu terdapat sekurang-kurangnya dua lagi tangkapan anggota JPJ dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan ini, katanya.


Loke tidak mengulas lanjut mengenai tangkapan tersebut.


Beliau juga berkata pihaknya maklum tentang iklan penjualan lesen terbang di laman sosial antaranya Facebook dan telah mengarahkan Ketua Pengarah JPJ untuk menjalankan siasatan untuk tindakan lanjut.


Kini, terdapat seramai 14,000 pemegang ‘lesen terbang’ di seluruh negara.


Kesemua 12 pegawai dan anggota JPJ yang ditahan itu melibatkan seorang timbalan pengarah; masing-masing dua penolong pegawai penguat kuasa dan ketua pembantu penguat kuasa; enam pembantu penguat kuasa; dan seorang pembantu tadbir. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]

Piala Malaysia – Yeop ke separuh akhir penuh bergaya

in Sukan by


PERAK melengkapkan kuota ke saingan separuh akhir Unifi Piala Malaysia 2018, apabila menewaskan PKNS 2-0 di Stadium Shah Alam, malam tadi.


Dua gol penyerang import Brazil, Wandar Luiz pada setiap babak sudah cukup memadai untuk mengesahkan kemaraan skuad The Bos Gaurus itu dalam kelompok empat pasukan terbaik, Liga Malaysia (Liga-M), musim 2018.


Sekali gus, menafikan ‘badi’ kekalahan skuad Kejor Yob Kejor itu kepada skuad Semut Merah itu, sejak beberapa musim lalu.


Perlawanan semalam menyaksikan Perak bermula garang sebaik wisel permulaan dengan mengasak ke gawang lawan dalam usaha memburu jaringan awal.


Usaha berkenaan akhirnya berhasil apabila rembatan penyerang import, Wander Luiz pada minit ke-23 gagal ditangkap kemas penjaga gol PKNS FC, untuk gol sulung pelawat.


Gol berkenaan dilihat semakin menyemarakkan semangat kesebelasan Perak untuk mengasak ke gawang lawan dalam usaha menambah jaringan.


Bagaimanapun, benteng pertahanan PKNS FC dilihat kental bertahan bagi menggagalkan asakan-asakan skuad The Bos Gaurus itu hingga tamat babak pertama.


Perak semakin menggadakan asakan pada babak kedua dan Wandar Luiz sekali lagi berjaya menjaringkan gol kedua apabila menanduk masuk hantaran cantik rakan sepasukan pada minit ke-57.


Malang berganda buat PKNS FC, apabila pemainnya Muhammad Jafri Firdaus Chew dilayangkan kad merah setelah mengasari pemain Perak, Leandro Dos Santos pada minit ke-78.


Kesempatan itu bagaimanapun gagal dimanfaatkan  kesebelasan Perak apabila gagal menambah jaringan sehingga ke wisel penamat.


KESEBELASAN PEMAIN:


PKNS FC – Mohd Zarif Irfan, Rodney Kelvin, Nik Mohd Shahrul Azim, K.Gurusamy (kapten), Zachary Anderson, Muhammad Jafri Firdaus Chew, Mohammad Qayyum, Muhammad Nurridzuan,  Bruno Oliviera, Romel Oswaldo, Rafael Ramazotti


PERAK – Muhammad Hafizul Hakim, Shahrul Mohd Saad, Leandro Dos Santos, Gilmar da Silva, Wander Luiz, Brendan Gan, Muhammad Firdaus Saiyadi, Idris Ahmad, Nor Hakim Hassan, Nazirul Naim, Amirul Azhan


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]

1 2 3 390
Kembali UTAMA