Impian Malaysia Tigers berkecai

in Sukan by


IMPIAN Malaysian Tigers untuk melakar sejarah meraih emas dalam acara hoki lelaki Sukan Asia tidak kesampaian selepas tunduk kepada Jepun dalam aksi final di Stadium Hoki Gelora Bung Karno,sebentar tadi.


Perlawanan yang berlanjutan sehingga penentuan penalti itu dimenangi Jepun dengan jaringan 3-1 selepas kedudukan terikat 6-6 tamat masa sebenar perlawanan.


Kesilapan benteng pertahanan negara yang memberikan gol saat akhir kepada Jepun selepas mendahului 6-5 dengan masa hanya tinggal 20 saat sebelum tamat dibayar mahal menyaksikan Malaysian Tigers turut gagal mendapatkan slot automatik ke Sukan Olimpik 2020 di Jepun.


Dalam perlawanan itu, Malaysia membuka  jaringan pertama seawal minit keempat melalu pukulan sudut penalti Razie Rahim sebelum Jepun membalas menerusi jaringan padang Tanaka Seren pada minit ke-9.


Tengku Ahmad Tajuddin menjadikan kedudukan 3-1 menerusi dua gol pada minit ke-11 dan ke-12 dan Faizal Saari menambah gol keempat pada minit ke-17 sebelum Jepun merapatkan kedudukan menerusi gol padang Tanaka Kenta untuk menutup saingan separuh masa pertama dengan kedudukan 4-2.


Bersambung separuh masa kedua, Amirol Aideed kembali menjarakkan kedudukan menerusi gol kelima pada minit ke-49 sebelum kelalaian benteng pertahanan negara dihukum Jepun yang menambah dua lagi gol menerusi Fukuda Kentaro dan Tanaka Kenta sebelum Yamasaki Koji menyamakan kedudukan pada minit ke-58 .


Razie menjaringkan gol keenam pada minit ke-59 yang dilihat sebagai jaringan kemenangan , namun,  Jepun bangkit sekali lagi menerusi Ochiai Hiromasa menyamakan kedudukan dalam tempoh 20 saat sebelum masa sebenar berakhir.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]