
SKUDAI–Sebuah jawatankuasa khas bagi menyelaras segala gerak kerja dan panduan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan wanita di negeri ini akan ditubuhkan.
Exco Pembangunan Wanita dan Pelancongan, Liow Cai Tung berkata, inisiatif itu bertujuan memastikan setiap pergerakan NGO wanita di negeri ini lebih sistematik dan membuka peluang berkongsi pendapat dan sebarang permasalahan.
Menurutnya, jawatankuasa berkenaan akan dibarisi wakil daripada semua NGO yang terlibat bagi memudahkan pengaliran maklumat kepada pertubuhan masing-masing.
“Pertama kali jawatankuasa mesyuarat seperti ini ditubuhkan dan ia membolehkan kita ada saluran dan mengetahui setiap perkara atau permasalahan dialami NGO ini untuk bergerak.
“Setiap NGO berkaitan perlu hantar wakil sama ada pengerusi mereka, setiausaha atau wakil untuk menghadiri mesyuarat berkenaan bagi membincangkan hala tuju dalam aktiviti selain menyelaras antara satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Ramah Mesra NGO Wanita Johor yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) negeri, Mohamad Ali Taib dan Ketua Wanita Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Johor, Prof Madya Dr Siti Zaiton Mohd Hashim di sebuah hotel, di sini, semalam.
Cai Tung berkata, NGO sememangnya memainkan peranan yang penting untuk membantu JPW dan juga pihak kerajaan dalam merealisasikan hasrat itu.
“Kerjasama yang erat antara NGO dan pihak kerajaan adalah wajar dalam misi untuk mengangkat martabat dan kedudukan wanita di negara kita.
“Ia bersesuaian dengan satu daripada objektif program ramah mesra hari ini iaitu berkongsi aspirasi NGO bersama Exco dan rakan NGO dalam membina masyarakat harmoni,” katanya.
Source: SH Edisi Johor
[featured-video-plus]