Lahir graduan berkualiti

in Edisi Utara by


PERMATANG PAUH – Hari penuh bersejarah buat graduan Politeknik Seberang Perai di sini apabila diraikan dalam Majlis Konvokesyen kali ke-18 yang diadakan bertempat di Politeknik ini, tadi.


Majlis berlangsung penuh gilang gemilang itu meraikan seramai 563 graduan dalam sidang pertama konvokesyen tersebut.


Pengarah Politeknik Seberang Perai, Mejar (K) Zulkifli Ariffin berkata, jumlah tersebut melibatkan 347 graduan daripada Jabatan Kejuruteraan Mekanikal bagi sesi Jun dan Disember 2017.


“Mereka terdiri daripada 184 graduan Diploma Kejuruteraan Mekanikal, 78 graduan Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Pembuatan), 40 graduan Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Loji) dan 45 graduan Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Tekstil).


“Manakala 173 graduan Diploma Pengurusan Logistik dan Rangkaian Bekalan daripada Jabatan Perdagangan.


“Seramai 43 graduan Diploma Profesional Mekatronik dengan kerjasama Politeknik Seberang Perai dan Analog Services Sdn Bhd, kerjasama telah diadakan mulai Mac 2016, dahulunya ia dikenali sebagai Linear Semiconductor Sdn Bhd,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan selepas majlis konvokesyen tersebut.


Majlis konvokesyen Politeknik Seberang Perai pada kali ini melibatkan seramai 1,607 graduan dan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.


Menurutnya, Politeknik Seberang Perai mencapai 96.32 peratus kadar kebolehpasaran berbanding 95.7 peratus pada tahun lepas.


“Sebanyak 94.01 peratus graduan bekerja dan 2.31 peratus memilih untuk melanjutkan pengajian.


“Pencapaian ini amat membanggakan, sekali gus membuktikan Politeknik Seberang Perai mampu melahirkan graduan berkualiti yang memenuhi kehendak industri,” katanya.


Perasmian majlis konvokesyen ini disempurnakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution.


Majlis penyampaian anugerah diploma diteruskan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Ts Dr Mohammad Naim Yaakub.  


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]