Ragbi: Malaysia tamatkan saingan di tempat kelima

in Sukan by


MALAYSIA menamatkan saingan acara ragbi tujuh sebelah lelaki Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 di tempat kelima setelah mengatasi China, 12-5, pada aksi penentuan tempat kelima/keenam di Padang Ragbi Gelora Bung Karno, di sini, hari ini.


Keputusan itu menyamai pencapaian pada edisi 2010 di Guangzhou, China yang menyaksikan Malaysia menduduki tangga kelima keseluruhan.


Pada aksi hari ini, skuad negara kendalian Mohd Saizul Hafifi Mohd Nor selesa mendahului China 12-0 pada babak pertama perlawanan menerusi ‘try’ pada minit ketiga oleh Amalul Hazim Nasarrudin, disusuli ‘try’ oleh Mohamad Nasharuddin Ismail pada minit keempat dan ‘conversion’ yang disempurnakan oleh Muhammad Azwan Zuwairi Mat Zizi pada minit kelima.


Sebaik sahaja perlawanan disambung, kedua-dua pasukan memberikan tentangan sengit, namun nasib lebih menyebelahi China yang berjaya meraih lima mata sagu hati menerusi ‘try’ dan ‘conversion’ yang disempurnakan oleh Ma Chong pada minit kedua dan ketiga babak kedua perlawanan.


Malaysia sebelum itu mengalahkan Thailand, 33-12 pada perlawanan penentuan kelima/kelapan.  


Satu ‘try’ menghasilkan lima mata manakala satu ‘conversion’ memberikan dua mata. – Bernama


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]