Sorok ketum bawah lori

in Edisi Utara by


PADANG TERAP – Anggota Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (6 RAMD) berjaya mematahkan cubaan dua lelaki menyeludup 637 kilogram daun ketum bernilai lebih RM57,000 ke negara jiran berhampiran Pos Sahara di sini, petang semalam.


Mereka dipercayai cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan menggunakan taktik mengangkut bata binaan menggunakan lori yang dibawa.


Panglima Enam Briged,  Brigadier Jeneral Datuk Abdul Aziz Ismail berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang ketika anggota 6 RAMD membuat rondaan.


“Dalam rondaan terbabit mereka tersempak dengan sebuah lori yang dinaiki dua lelaki terbabit.


“Pasukan berkenaan yang diketuai Kapten Mohd Khairuddin Mohd Anuar bersama tiga anggotanya kemudian mengarahkan mereka menghentikan lori untuk pemeriksaan,” katanya dalam suatu kenyataan, semalam.


Menurutnya, curiga dengan muatan bata yang dibawa, anggotanya terus membuat pemeriksaan lanjut terhadap mereka.


“Hasil pemeriksaan, mereka mendapati sebanyak 42 bungkusan hitam yang mengandungi daun ketum disorokkan pada bahagian bawah lori yang telah diubahsuai.


“Selain daun ketum berkenaan, turut dirampas adalah sebuah lori Toyota bernilai kira-kira RM20,000, 370 bata bernilai RM55.50 serta dua telefon bimbit bernilai RM190.


“Keseluruhan jumlah rampasan bernilai RM77, 565.50 dan pihak kami turut menahan dua lelaki berkenaan yang mana salah seorang daripadanya warga Thailand bagi membantu siasatan.


“Semua tahanan dan barang rampasan dibawa ke Balai Polis Kuala Nerang untuk laporan dan tindakan selanjutnya oleh polis,” katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]