2,801 mengundi awal Selasa ini

in Politik by


SHAH ALAM – Seramai 2,801 orang pengundi awal bagi PRK Dun N27 Balakong dan N32 Seri Setia akan mengundi pada Selasa ini.


Daripada jumlah itu, hanya 31 pengundi awal terlibat bagi Dun Balakong yang terdiri daripada anggota polis.


Undian awal Dun Balakong dibuat di ruang legar Kuarters Balai Polis Seri Kembangan dan pusat pengundian awal itu akan dibuka mulai jam 8 pagi hingga 12 tengah hari.


Sementara bagi proses pengundian awal di Dun Seri Setia pula melibatkan seramai 2,770 orang pengundi awal meliputi 2,597 anggota tentera serta pasangan mereka dan 173 orang anggota polis.


Bagi anggota tentera serta pasangan, mereka akan mengundi di Dewan Serbaguna Ababil, Pangkalan Udara Subang.


Bagi anggota polis pula mereka akan mengundi di Kompleks SMS Polis Diraja Malaysia (PDRM), Shah Alam. Pusat Pengundian Awal itu akan dibuka mulai jam 8 pagi hingga 5 petang.


Perkara itu dinyatakan Ahli Suruhanjaya, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) , Datuk Md Yusop Mansor, menerusi satu kenyataan media hari ini.


Beliau berkata, proses pengundian awal itu akan disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertanding di bahagian-bahagian pilihan raya berkenaan.


“Di samping itu, pemerhati-pemerhati pilihan raya daripada wakil-wakil organisasi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik oleh SPR juga akan turut menyaksikan proses pengundian awal tersebut.


“Untuk makluman, kertas-kertas undi awal tidak akan dikira di tempat mengundi (saluran) pada 4 September 2018, sebaliknya akan disimpan di tempat yang selamat iaitu di lokap-lokap balai polis.


“Pengiraan kertas-kertas undi awal tersebut hanya akan dijalankan pada 8 September 2018 secara berkelompok di tempat pengiraan undi yang ditetapkan SPR dengan disaksikan oleh ejen-ejen calon masing-masing,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]