Mana-mana syarikat minyak boleh mohon bekal bahan api

in Nasional by


PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan (MoF) tidak menghalang mana-mana syarikat minyak seperti BHP dan Caltex memohon untuk dimasukkan ke dalam senarai panel pembekal bahan api kepada kenderaan kerajaan menerusi program kad inden.


Kad inden merupakan kad elektronik yang digunakan untuk membuat transaksi bekalan bahan api kenderaan.


Dalam kenyataan hari ini, kementerian itu berkata permohonan daripada pembekal lain adalah dialu-alukan bagi menambahkan pilihan dan penjimatan kerajaan persekutuan, selain meningkatkan persaingan di pasaran.


“Jumlah anggota tidak dihadkan oleh MoF ia boleh diluaskan lagi jika pembekal lain membuat permohonan rasmi dengan memberikan kerajaan persekutuan penjimatan munasabah melalui kad inden.


“Buat masa ini, tiada permohonan telah diterima oleh MoF daripada mana-mana syarikat pembekal bahan api yang lain,” menurut kementerian itu.


Kenyataan itu dikeluarkan susulan kritikan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengenai pelantikan Petron ke dalam panel pembekal bahan api kepada kenderaan kerajaan melalui kad inden.


Kementerian itu menegaskan bahawa keputusan ini dibuat secara pentadbiran untuk perjalanan urusan operasi.


Menurutnya, perkara itu tidak dirujuk sama sekali kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad atau Menteri Kewangan Lim Guan Eng serta dilaksanakan tanpa campur tangan politik.


“Sebagai bekas Menteri Kewangan, Najib sepatutnya tahu bahawa BHP dan Caltex boleh memohon untuk menjadi anggota panel sekiranya mereka berminat.


“Pihak Kementerian Kewangan akan memproses sebarang permintaan berdasarkan garis panduan yang terpakai ke atas Petronas, Shell dan Petron,” menurut kementerian itu.


Berdasarkan lantikan tersebut, MoF berkata panel kad inden tersebut kini dianggotai oleh Petronas, Shell dan Petron.


“Ketiga-tiganya mempunyai rangkaian stesen minyak terbesar di Malaysia,” menurutnya.


Menjelas lanjut, MoF berkata Petron hanya dilantik ke dalam panel tersebut pada tahun ini selepas rundingan selama dua tahun dijalankan.


Menurutnya, Petron membuat permohonan pada 2016 dan Disember 2017 malah syarikat tersebut telah bersetuju memberikan penjimatan kecil kepada kerajaan persekutuan melalui program kad indennya.


“Rundingan yang bermula semasa kepimpinan Najib menunjukkan bahawa kerajaan terdahulu tiada halangan menimbang permohonan Petron, dan kerajaan persekutuan yang baharu hanyalah meneruskan proses dalaman mengikut panduan jelas yang sedia ada,” kata kementerian itu.


MoF berkata kebenaran terhadap permohonan Petron juga tidak melibatkan apa-apa kos kepada kerajaan persekutuan, dan proses dalaman juga tidak memerlukan kebenaran Menteri Kewangan.- Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]