Masih ada peniaga belum faham konsep SST

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) berkuatkuasa semalam belum menunjukkan sebarang perubahan atau peningkatan harga yang ketara.


Malah perkara itu turut dinyatakan sebahagian pembekal dan pengusaha barangan yang menjalankan perniagaan selain masih tidak begitu jelas mengenai SST terbabit.


Tinjauan Sinar Harian di pasar raya dan beberapa kedai barangan runcit di sekitar bandar raya ini mendapati rata-ratanya masih belum melaksanakan perubahan harga ekoran cukai itu selain  memerlukan lebih masa untuk perincian barangan terlebih dahulu.


Pengurus Operasi Pasaraya Econsave Cash and Carry Wilayah Selatan, Mas Imran Adam berkata, sekiranya ada peningkatan barangan sekali pun, ia akan berlaku selepas semua stok habis digunakan dan menerima makluman kenaikan harga daripada pembekal.


“Sekarang ini tiada kenaikan dibuat, kena tunggu stok baharu yang masuk dahulu. SST ini hanya dikenakan kepada pengilang jadi bila ada stok baharu masuk, baru ada kenaikan harga, jadi kalau tiada stok yang baharu itu maknanya tidak naik lah.


“Kita ambil contoh lampin pakai buang, susu tepung dan minyak kelapa sawit itu semua tidak dikenakan SST, boleh kata barangan makanan atau keperluan harian semua dikecualikan daripada cukai berkenaan,” katanya ketika ditemui di Pasaraya Econsave Senai di sini, semalam.


Katanya lagi, kebanyakan pasar raya dalam negara ini pun tidak boleh sewenangnya menaikkan harga barang kerana terikat dengan Akta Pencatutan yang dikuatkuasa Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).


“Bila macam ini pun, kebanyakan barang tidak boleh dijual dengan sesuka hati kerana kami semua tertakluk kepada Akta Pencatutan, bermakna kalau sebelum ini kita untung 20 sen, jadi kalau kenaikan pun kita hanya boleh untung 20 sen. Tidak dibenarkan meningkat lebih tinggi, jadi so far pelaksanaan SST ini memang terkawal lah,” katanya.


Sementara itu, pembekal dan pemborong makanan ringan di Larkin, Umar Kama Kander berkata, pihaknya sehingga kini masih belum mengetahui dan diberikan penjelasan terperinci mengenai pelaksanaan SST yang dikuatkuasa ini.


“Cukai ini kita masih belajar lagi, kita pasti mungkin akan ada kenaikan harga yang dibuat tetapi belum jelas lagi. Kita kena melihat daripada semua aspek terlebih dahulu, sebab bimbang nanti bercanggah daripada apa yang sepatutnya.


“Saya rasa semua peniaga pun melalui benda yang sama, kalau nak ubah harga sekarang memang tidak boleh. Mungkin diperlukan dalam dua atau tiga bulan lagi untuk kita laksanakannya dengan menyeluruh, ketika itu baru tahu ada perubahan harga atau tidak,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]