Terkilan suami tak sempat tengok anak konvo

in Edisi Johor by


SEGAMAT – “Ketika kejadian, arwah suami bawa ibunya dan bukan anak kami seperti yang ditularkan di media sosial,” kata Maimunah Mahamod, 56, yang kehilangan suaminya pada 26 Ogos lalu.


Maimunah berkata, kes arwah suaminya, Borhannudin Eslar, 57, yang meninggal di dalam kereta di sebuah stesen minyak di Labis juga disebabkan kegagalan buah pinggang dan bukannya penyakit jantung.


Menurutnya, arwah suaminya itu juga menghidap penyakit buah pinggang selain sudah menjalani rawatan dialisis sejak setahun yang lalu selepas bersara sebagai pekerja di sebuah syarikat pemprosesan minyak di Segamat.


“Sebelum kejadian, arwah ada memberitahu saya hendak membawa ibunya, Janiah Dolah Mukti, 80, ke rumah bapa saudaranya di Labis dan arwah suami berhentikan kereta di stesen minyak tersebut bukannya hendak mengisi minyak.


“Mengikut rakaman CCTV di stesen minyak tersebut, arwah suami dua kali memberhentikan kereta untuk masuk ke stesen minyak dan ketika itu mungkin dia sedang menahan sakit,” katanya.


Dia ditemui semasa menerima cek Faedah Pengurusan Mayat (FPM) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebanyak RM1,500 yang diserahkan oleh Pengurus Perkeso Segamat, Roslinda Juanis di Pejabat Perkeso Segamat, di sini, semalam.


Katanya, dia yang bertugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Bukit Hampar, juga hanya mengetahui kejadian malang menimpa suaminya selepas dihubungi kakitangan stesen minyak tersebut.


Menurut ibu kepada empat anak itu, dia juga terkilan kerana arwah suaminya itu tidak sempat untuk hadir ke majlis konvokesyen Ijazah Sarjana Muda Perubatan anak ketiga mereka, Nur Fashihah, 25, pada 27 November ini.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]