Abu Dhabi tunda pamer lukisan Da Vinci

in Global by


ABU DHABI – UAE. Hasil seni Leonardo da Vinci, ‘Salvator Mundi’ yang mencetuskan kontroversi selepas putera mahkota Arab Saudi dinamakan sebagai pembeli rahsia karya itu, tidak akan dipamerkan mengikut jadual, kata Jabatan Kebudayaan dan Pelancongan Abu Dhabi semalam.


Lukisan itu dijangka dipamerkan di cawangan baru Louvre di Abu Dhabi dari 18 September ini.


Pihak berkuasa tidak menyatakan alasan untuk kelewatan itu.


Akhbar The National, melaporkan muzium itu mungkin menunggu sehingga ulang tahun pertama pembukaannya pada November untuk mempamerkan lukisan itu, yang dibeli tahun lalu oleh seorang pembeli misteri.


The Wall Street Journal dalam laporannya sebelum ini mendedahkan bahawa, Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed  Salman adalah pemilik sebenar lukisan berkenaan.


Karya pelukis terkemuka itu dibeli pada acara lelongan yang berlangsung November tahun lalu di rumah lelongan Christie’s di New York.


Putera yang dikenali dengan nama singkatannya MBS menggunakan orang tengah untuk memiliki lukisan tersebut.


Hasil seni itu menggambarkan Jesus Christ berusia lebih 500 tahun, dijual pada harga AS$450.3 juta (RM1.8 bilion).


Ia sekali gus mencipta rekod baharu lelongan barangan seni, kata pusat lelongan Christie’s.


Salvator Mundi yang dihasilkan pada 1500, dijual selepas 18 minit bidaan dalam jualan bersejarah itu. -MEM/AFP


Source: SH Global

[featured-video-plus]