Anggota Kabinet MA63 diumumkan dalam masa terdekat

in Nasional by


PUTRAJAYA – Barisan anggota Jawatankuasa Khas Kabinet untuk menyemak dan menyelaraskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan diumumkan selepas mendapat pengesahan Kabinet pada mesyuarat jemaah menteri akan datang.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Liew Vui Keong berkata satu memorandum mengenai jawatankuasa itu telah dihantar kepada pelbagai kementerian dan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak untuk cadangan dan maklum balas lanjut.


“Setakat ini, semua berjalan mengikut perancangan,” katanya dalam kenyataan hari ini bagi mengulas status terkini jawatankuasa tersebut.


Menurutnya, urusan mengembalikan hak Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam MA63 adalah salah satu daripada lima tonggak di bawah manifesto Pakatan Harapan.


Beliau berkata anggota jawatankuasa peringkat tinggi itu terdiri daripada pemimpin tertinggi dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak yang mempunyai pengetahuan dan kepakaran mengenai MA63.


Liew berkata tugas utama jawatankuasa itu adalah untuk mengkaji semula dan mencadangkan langkah-langkah memperbetulkan status perjanjian berhubung perkara-perkara seperti berikut:


– Status Perjanjian Malaysia 1963 dalam perundangan sekarang


– Usaha meningkatkan kefahaman rakyat mengenai Perjanjian Malaysia 1963 melalui sistem pendidikan kebangsaan


– Pelaksanaan konsep federalisme untuk ketiga-tiga wilayah – Semenanjung, Sabah dan Sarawak


– Hak-hak Sabah dan Sarawak terhadap hasil semulajadi negara serta hasil minyak dan gas


– Perkara-perkara pentadbiran yang sewajarnya diturunkan untuk kuasa negeri


– Jumlah peruntukan yang seharusnya menjadi hak Sabah dan Sarawak


– Pindaan kepada Artikel 1 Perlembagaan Persekutuan Malaysia. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]