Anwar ikhlas mahu bantu kerajaan

in Politik by


SHAH ALAM – Kenyataan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu ‘bersama’ pembangkang adalah luahan ikhlas beliau yang mahu memastikan pentadbiran kerajaan mampu melaksanakan tugas mereka sebaiknya.


Penganalisis politik, Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed merasakan kenyataan bekas Timbalan Perdana Menteri itu bukanlah bermakna beliau mahu menyertai pembangkang kerana beliau masih lagi bersama PH.


Menurutnya, tiada masalah untuk Anwar berkata demikian kerana beliau tidak berada dalam pentadbiran kerajaan meskipun beliau menyokong Harapan.


“Kalau kita lihat, beliau lebih kepada nak pastikan supaya pentadbiran kerajaan adalah telus dan melaksanakan apa juga manifesto yang telah dirancang sebelum ini.


“Beliau tidak ragu-ragu untuk mengkritik atau menunjukkan apa juga kesalahan dilakukan pentadbiran kerajaan. Ini penting kerana tiada pemimpin dari Harapan yang berani nak tegur kesilapan dilakukan kerajaan.


[ARTIKEL BERKAITAN: Anwar akan bersama pembangkang untuk menyerang jika...]


“Walaupun Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah beberapa kali melakukan teguran sebelum ini namun kita faham kerajaan baru terdiri daripada menteri yang tidak berpengalaman yang kadangkala buat kesilapan,” katanya kepada Sinar Harian.


Tambahnya lagi, teguran daripada pemimpin seperti Anwar lebih relevan kerana beliau bukan saja dianggap pemimpin hebat malah beliau juga adalah penyokong Harapan yang kini membentuk Malaysia Baru.


“Kalau pembangkang tegur, kita lihat kadangkala mereka ada kepentingan misalnya mungkin mereka ingin jatuhkan seseorang, kritik secara semberono.


“Tapi kalau kritikan itu datang daripada parti komponen Harapan terutama daripada pemimpin besar seperti Anwar maka ia lebih relevan dengan niat ikhlas untuk membantu membetulkan apa jua salah laku.


“Saya fikir itu adalah kenyataan ikhlas beliau untuk pastikan pentadbiran kerajaan berada dalam landasan tepat,” ujarnya.


Semalam, Anwar bertegas beliau akan ‘berperang’ dengan penyelewengan dan salah guna kuasa serta tidak teragak-agak untuk bersama pembangkang sekiranya kerajaan turut melakukan kesalahan ini.


Jelasnya, beliau tidak akan memilih bulu dan akan tetap komited meneruskan perjuangan meskipun beliau kini di pihak kerajaan.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]