Bantuan perumahan nelayan perlu diselaras semula

in Edisi Terengganu by


MARANG – Senator Datuk Razali Idris kecewa dengan Kerajaan Terengganu yang kelihatan seperti menganaktirikan golongan nelayan di Marang berhubung perlaksanaan bantuan perumahan nelayan.


Beliau menyarankan agar kerajaan negeri turut memberi perhatian terhadap kehendak nelayan di daerah itu dan tidak hanya menumpukan keperluan perumahan nelayan di Kemaman, Besut dan Setiu.


Beliau berkata, penempatan baharu bagi menempatkan lot kediaman untuk golongan nelayan dirancang untuk diwujudkan di Terengganu bagi mencorakkan kehidupan lebih selesa buat golongan terbabit.


“Berkenaan dengan (bantuan) perumahan nelayan menerusi dana Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) seperti dijawab exco kerajaan negeri dalam majlis ramah mesra bersama nelayan di Kuala Terengganu.


“Perumahan nelayan ini akan dibuat di Besut, Setiu dan Kemaman. Kenapa tidak di Marang yang mempunyai jumlah nelayan yang ramai malah ia kawasan menteri besar dan presiden Pas,” katanya, hari ini.


Terdahulu beliau menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani Malaysia, Datuk Salahuddin Ayub.


Turut hadir, Exco kerajaan negeri, Dr Azman Ibrahim di Chendering, Kuala Terengganu, semalam.


Beliau berkata, perancangan bagi mewujudkan penempatan baharu dengan menyediakan perumahan kepada nelayan perlu diselaraskan semula dengan menumpukan ke semua daerah terbabit.


Menurutnya, keutamaan juga perlu diberi untuk nelayan Marang yang belum memiliki rumah di penempatan secara terancang itu bagi membantu meningkatkan sosio ekonomi mereka melalui aktiviti hiliran.


Beliau kecewa kerana projek yang akan digerakkan melalui dana LKIM itu turut melibatkan peruntukan negeri selain peruntukan Pusat namun ia dilihat hanya ditumpukan di tiga buah daerah.


Difahamkan tiga penempatan bagi perlaksanaan penempatan baharu bagi kediaman nelayan itu ialah di Pulau Sekepeng di Kemaman di Seberang Penarik, Setiu dan juga di Beting Lintang, Besut.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]