Cadangan persekutuan Jordan-Palestin ditolak

in Global by


RAMALLAH – PALESTIN . Pihak Berkuasa Palestin (PA) menolak bulat-bulat tawaran Amerika Syarikat (AS) berhubung pembentukan persekutuan Jordan-Palestin sebagai pengganti jelas untuk negara merdeka yang dituntut Palestin.


Semalam, Presiden Mahmoud Abbas berkata, beliau ditawarkan ‘pelan politik’ itu oleh pasukan perunding dari Washington.


Pasukan yang turut terdiri daripada Jared Kushner yang merupakan penasihat kanan dan menantu Presiden Donald Trump serta Wakil AS ke Timur Tengah, Jason Greenblatt.


“Mereka bertanya sama ada saya saya percaya dengan persekutuan bersama Jordan. Saya menjawab: Ya, saya mahu persekutuan dengan Jordan dan Israel. Saya hanya akan bersetuju jika Israel adalah sebahagian daripada persekutuan tersebut,” kata Abbas.


Mei lalu, laman risikan Israel, DEBKAfile mendedahkan rancangan itu hanya memberikan Palestin separa kedaulatan di Tebing Barat dan Abu Dis, timur Baitulmaqdis.


Di bawah pelan itu, Palestin juga diberikan kedaulatan ke atas Genting Gaza, namun bersyarat yang mana gerakan Hamas perlu melepaskan wilayah itu.


Tindakan AS mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Kota Lama itu pada Mei lalu telah mencetuskan kemarahan Palestin.


Susulan itu, PA bertindak menafikan peranan Washington sebagai perunding proses damai di Timur Tengah kerana hilang kepercayaan terhadap mereka.


Abbas menerusi satu kenyataan menyifatkan keputusan kontroversi Trump itu jelas tindakan mencetuskan permusuhan dengan Palestin. – Press TV


Source: SH Global

[featured-video-plus]