Dua ditahan seleweng diesel bersubsidi

in Edisi Utara by


BUKIT MERTAJAM – Dua individu ditahan selepas dipercayai terlibat dengan sindiket cubaan menyeleweng minyak diesel bersubsidi dalam satu serbuan di sebuah stor haram di Bukit Minyak, di sini, awal pagi tadi.


Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang, Ridzuan Ab Ghapar berkata, serbuan dilakukan kira-kira jam 5 pagi itu hasil siasatan dan intipan yang dilakukan pihaknya dan pasukan dari Putrajaya yang mengekori sebuah lori tangki dari Perai ke stor berkenaan.


Menurutnya, ketika serbuan kedua-dua lelaki yang berusia lingkungan 50-an itu sedang memindahkan diesel bersubsidi itu ke dalam tangki lain yang dipercayai untuk dijual di Thailand.


“Lori berkenaan sepatutnya perlu menghantar minyak itu ke Kuala Kurau, Perak selepas mengambil bahan api berkenaan di Perai namun ia melencong ke kawasan lain.


“Anggota penguatkuasa KPDNHEP  kemudian mengekori lori berkenaan sehingga ke kawasan stor ini sebelum bertindak menyerbu premis terbabit,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.


Ridzuan berkata, hasil pemeriksaan pihaknya merampas dua lori tangki yang mengandungi 42,000 liter minyak diesel dianggarkan bernilai RM111, 060.


Katanya, siasatan lanjut mendapati minyak diesel itu dipesan Persatuan Nelayan Batu Kurau namun ia tidak sampai ke destinasi sepatutnya.


“Disebabkan harga minyak kini mula tinggi di pasaran ada pihak cuba mengaut keuntungan dengan jalan mudah iaitu dengan cara menyeleweng hak nelayan dan menjualnya.


“Ini satu kesalahan besar apatah lagi semakan yang dibuat mendapati stor berkenaan beroperasi tanpa lesen sah,” katanya.


Beliau berkata, siasatan lanjut terhadap kedua-dua lelaki berkenaan akan diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 22, Akta Kawalan Bekalan 1961.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]