Gugur kes Guan Eng: Keadilan gagal dilaksanakan

in Politik by


SHAH ALAM – Pengguguran pendakwaan kes melibatkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tanpa penjelasan kukuh dan justifkasi jelas oleh Peguam Negara, Tommy Thomas, menyerlahkan keadilan hakikatnya tidak dilaksanakan.


Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kes itu akhirnya bukan memartabatkan konsep kedaulatan undang-undang atau ‘rule of law’ yang dicanang kerajaan PH, sebaliknya ‘rule of jungle’ pula diamalkan.


Katanya, institusi Peguam Negara sepatutnya tidak bersifat partisan, tetapi perlu berintegriti dan memartabatkan prinsip kedaulatan undang-undang sebagaimana yang dilaungkan.


“Pemuda Umno mendesak agar Peguam Negara telus menjelaskan kenapa pendakwaan ke atas Guan Eng ditarik balik dan kenapa kes ini bukan satu bentuk gratifikasi atau rasuah sedangkan Guan Eng merupakan penjawat awam yang menerima harta yang jelas rendah nilainya.


“Sepatutnya mahkamah yang menentukan sama ada beliau benar-benar bersalah ataupun tidak dan bukan peguam negara untuk kes ini yang sudah pun berjalan dalam memanggil 25 saksi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


[ARTIKEL BERKAITAN: Guan Eng bebas tuduhan rasuah]


[ARTIKEL BERKAITAN: SPRM terkejut mahkamah bebaskan Guan Eng]


Guan Eng bersama ahli perniagaan, Phang Li Koon dibebaskan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah banglo di bawah nilai pasaran.


Susulan itu, SPRM menerusi satu kenyataan, terkejut dengan keputusan mahmakah itu dan sekali lagi menegaskan bahawa keputusan menarik balik kes tersebut telah dibuat oleh Pejabat Peguam Negara dan bukannya suruhanjaya itu.


Asyraf menyifatkan tindakan menggugurkan pendakwaan kes rasuah itu menjadi titik hitam dalam sejarah permulaan Malaysia baharu di bawah kerajaan PH.


Malah katanya, ia turut melengkapkan siri pengguguran kes-kes yang melibatkan pimpinan PH sejak Thomas dilantik, antaranya Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim; Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa dan bekas ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran serta kartunis Zunar.


Katanya, semua pengguguran kes itu jelas memperlihatkan sikap pendakwaan terpilih (selective prosecution) oleh pihak Peguam Negara tanpa justifikasi yang kuat dan meyakinkan.


“Rakyat yang dimomokkan dengan mantra ‘rule of law’ pastinya tertanya-tanya justifikasi pengguguran kerana kes rasuah banglo Guan Eng adalah kes yang mirip dan menyerupai sabitan kes rasuah bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo sehingga dipenjarakan.


“Lebih mengejutkan apabila SPRM mengeluarkan kenyataan ‘amat terkejut’ dengan keputusan pengguguran kes itu. Ini menambahkan lagi keyakinan rakyat betapa kes Guan Eng ini mempunyai asas dan justifikasi pendakwaan yang jelas dan kukuh untuk didakwa,” katanya.


Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir turut mempertikaikan pengguguran kes Guan Eng yang dikaitkan dengan ‘rule of law’.


“Kes boleh ditarik balik dan digugurkan juga adalah ‘rule of law’? Macam kes LGE (Lim Guan Eng) tu. Faham?


“Entah, saya pun tak faham sebab SPRM pun amat terkejut. Khairy Jamaluddin (Abu Bakar, Ahli Parlimen Rembau) kata dulu ‘selective prosecution’, sekarang ‘selective non-prosecution’. Atau ‘rule of the power’?,” soalnya menerusi Twitter miliknya hari ini.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]