Jangan jual tanah Felda: MB Perak

in Uncategorized by


GERIK – Kesemua peneroka Felda di Perak digesa tidak sewenang-wenangnya menjual geran tanah hak milik yang diperolehi hasil kurnia kerajaan negeri pada masa hadapan.


Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu berkata, kesemua peneroka Felda termasuk generasi baharu perlu menyedari sebarang tindakan menjual atau menukar hak milik tanah diperolehi amat merugikan bukan sahaja kepada mereka, malahan generasi Felda akan datang.


Menurutnya, kesemua peneroka Felda wajib mempertahankan tanah kurnia kerajaan negeri itu kerana mereka perlu menyedari pelbagai kesusahan dialami semasa mula-mula menjadi peneroka di sini pada tahun 1989.


“Golongan peneroka (Felda) bukan orang senang dan yang menjadi peneroka dulu memerlukan usaha yang kuat untuk meneruskan kehidupan dan menyara keluarga.


“Alhamdulillah bila dah dapat geran tanah kena jaga, jangan jual dan tukar hak milik sebab ianya merupakan sesuatu yang perlu dipertahankan,”katanya pada sidang media selepas merasmikan program penyerahan hak milik tanah peneroka Felda Nenering di Dewan Semai Bakti di sini hari ini.


Majlis itu menyaksikan seramai 140 peneroka menerima geran hak milik masing-masing dengan setiap seorang menerima hak milik 3.9 hektar melibatkan tanah kediaman dan ladang.


Keseluruhannya, Felda Nenering mempunyai keluasan 608.70 hektar.


Dalam pada itu, Pengarah Pengurusan Felda, Erwan Aman dalam ucapannya menegaskan Felda mempunyai 17 tanah rancangan di Perak dengan jumlah keseluruhan keluasan kawasan seluas 28,562 hektar membabitkan 5,917 orang peneroka.


Daripada jumlah peneroka itu, beliau menegaskan seramai 97.55 peratus atau 5,772 peneroka di Perak telah menerima geran hak milik, sekaligus menjadikan Perak sebagai negeri ketiga hampir memberi hak milik tanah 100 peratus kepada kesemua peneroka Felda.


“Tiga lagi rancangan Felda iaitu Felda Gunung Besout 3 (61 orang) , Felda Trolak Timur (42 orang) dan Felda Trolak Selatan (23 orang) masih belum menerima hak milik.


“Felda dengan kerjasama dan bantuan kerajaan negeri akan terus memberikan komitmen dalan usaha mempercepatkan pemberian hak milik kepada peneroka rancangan berkenaan,” katanya.


Erwan berkata, Felda juga sedang membina 202 unit rumah untuk penduduk generasi baru Felda (PGBF) di Felda Gunong Besout dan Felda Lasah.


Selain itu, beliau menegaskan Felda turut bercadang membina 20,000 unit rumah berkenaan pada masa hadapan.


“Daripada jumlah itu, 8,314 unit akan dibina di bawah projek PGBF manakala bakinya akan dilaksanakan di bawah Projek Rumah Medra Rakyat (RMR) Felda.


“Fasa pertama projek RMR Felda yang dicadangkan sebanyak 5,000 unit.


“Kedua-dua projek itu dalam pembinaan dan mencapai 75 hingga 93 peratus,” katanya.


Bagi 140 peneroka Felda Nenering pula, penantian 30 tahun mereka untuk mendapatkan geran hak milik berakhir dengan kegembiraan.


Seorang peneroka, Sabariah Daud, 58, berkata, beliau gembira dan berterima kasih kepada Felda yang memberikan geran hak milik yang amat ditunggu-tunggu mereka selama ini.


“Saya bersyukur apabila menerima hak milik tanah diusahakan selama ini, namun sedih kerana suami, Ahmad Ariffin yang meninggal dunia setahun lalu tidak dapat meraikannya bersama,” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]