Jawatankuasa kementerian ditubuh pantau kenaikan harga

in Nasional by


KOTA BHARU – Kerajaan akan menubuhkan sebuah jawatankuasa yang dianggotai beberapa kementerian bagi memantau sebarang kemungkinan kenaikan harga melampau berikutan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).


Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MoA) Datuk Salahuddin Ayub berkata ia bagi memastikan kepentingan rakyat untuk mendapatkan barangan dengan harga berpatutan tetap terbela di sebalik pengenalan semula SST.


“Tugas MoA memastikan kecukupan bahan dan produk makanan. Apabila ia dipasarkan atau diniagakan ia akan melibatkan beberapa kementerian, bukan MoA sahaja tetapi termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Kewangan (MoF),” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Agrotruck Kelantan di Tapak Medan Warisan Makanan dan Agrotruck Kelantan, Dataran Bandaraya Kota Bharu di sini, hari ini.


Salahuddin berkata buat permulaan, MoA dan KPDNHEP mungkin boleh mengaktifkan jawatankuasa kawalan harga di sepanjang musim perayaan jika berlaku kenaikan harga produk.


“Jawatankuasa ini boleh beroperasi pada masa-masa tertentu jika ia membabitkan kenaikan harga barang,” katanya.


Mengulas mengenai bekalan bahan mentah dari laut yang seringkali terjejas semasa tengkujuh, Salahuddin berkata pihaknya akan membuat persiapan sebaik mungkin bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku.


Katanya, bagaimanapun kerajaan mungkin terpaksa mengimport bekalan ikan dari luar jika ia masih tidak mencukupi sepanjang menghadapi musim berkenaan. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]