Jepun berdepan ‘Taufan Jebi’ paling kuat

in Global by


TOKYO – Jepun bersiap sedia untuk berdepan ancaman taufan kuat yang kian menghampiri pantai Pasifik selatannya, dan agensi cuaca pada Isnin memberi amaran bahawa ia mungkin membadai negara itu pada Selasa serta merupakan yang paling kuat pernah melanda Jepun dalam tempoh 25 tahun, lapor agensi berita China Xinhua.


Agensi Meteorologi Jepun (JMA) berkata “Taufan Jebi” mungkin membadai wilayah Shikoku terlebih dahulu pada Selasa, namun kawasan sekitarnya dinasihat berada dalam keadaan berjaga-jaga susulan kejadian angin kencang, hujan lebat, ombak tinggi, banjir dan tanah runtuh yang dijangka berlaku.


JMA berkata Taufan Jebi bergerak di trajektori utara-barat laut Lautan Pasifik selatan menuju Pulau Honshu pada kelajuan 20 kilometer sejam pada pukul 3 petang tadi waktu tempatan.


Ia mempunyai tekanan atmosfera 945 hectopascal, kata agensi itu, dan membawa angin kencang pada kelajuan sehingga 216 kilometer sejam di pusatnya.


Dalam satu taklimat akhbar tergempar berhubung perkara itu pada Isnin, seorang pegawai agensi cuaca berkata taufan tersebut telah dikategori sebagai “amat kuat” berdasarkan kelajuan angin kencangnya, dan mungkin menjadi taufan paling kuat pernah membadai Jepun sejak tahun 1993. – Bernama


Source: SH Global

[featured-video-plus]