Jokowi beri tempoh dua bulan

in Global by


MATARAM – INDONESIA . Presiden Joko Widodo atau Jokowi melawat Lombok, hari ini untuk memantau projek pemulihan dan pembinaan semula pasca gempa Lombok-Sumbawa.


Pemimpin itu turut bertemu kumpulan pelajar SMPN 6 Mataram dan berkunjung ke Hospital Umum Daerah (RSUD) Kota Mataram yang mengalami kerosakan teruk akibat siri gempa yang menggegar pulau peranginan tersebut pada bulan lalu.  


Lawatan beliau pada kali ini diiringi Menteri Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat, Basuki Hadimuljono, Panglima Tentera Indonesia, Hadi Tjahjanto, Ketua Agensi Pengurusan Bencana Nasional, Willem Rampangilei dan Gabenor Nusa Tenggara Barat, Tuan Guru Bajang, Zainul Majdi.


Beliau mengambil kesempatan meninjau proses pemulihan dan pembangunan struktur yang musnah di bandar tersebut.


“Saya minta anda selesaikan dalam tempoh dua bulan ya, dua bulan,” kata Jokowi sambil menunjukkan dua jarinya kepada wakil pihak yang mengendalikan projek tersebut, PT Hutama Karya.


Beliau turut menyasarkan pembangunan semula RSUD Kota Mataram dalam tempoh 60 hari kerana kepentingannya kepada penduduk.


“Saya sudah mengarahkan projek pembaikan itu diselesaikan segera dan pihak Hutama Karya beri jaminan ia dapat siap dalam tempoh ditetapkan. Hospital ini hanya mengalami kerosakan sederhana, namun ia perlu dibaiki segera untuk memastikan pesakit tidak lagi ditempatkan di dalam khemah,” ujarnya lagi.


Ketika ini, terdapat dua kontraktor yang diberi tanggungjawab untuk mengendalikan projek itu termasuk memulihkan semula beberapa sekolah di Lombok dalam tempoh dua bulan.


“Saya akan berkunjung semula dalam tempoh dua bulan lagi untuk memastikan mereka menepati janji,” menurutnya yang sempat bertemu pesakit dirawat di khemah sementara sejak gempa pertama pada 29 Julai lalu. – Kompas.com


Source: SH Global

[featured-video-plus]