Josiah bukan pengkhianat

in Sukan by


PUTRAJAYA – Bekas pelumba basikal trek negara, Josiah Ng bukanlah seorang pengkhianat negara seperti yang dikecam netizen melalui media sosial, kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.


“Pada saya, sesiapa yang memanggil dia (Josiah) sebagai pengkhianat, harus cermin diri dahulu…Mengapa mereka tidak mengiktiraf sumbangannya kepada Malaysia,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkara itu.


Menurut Syed Saddiq, beliau berkesempatan bertemu dengan Josiah ketika berada di Velodrom Antarabangsa Jakarta semasa Sukan Asia dan sempat bertanya kenapa Josiah tidak mahu melatih skuad berbasikal Malaysia.


“Josiah kata, dia belum layak lagi untuk jadi jurulatih untuk Malaysia. Beliau perlukan sedikit masa lagi untuk membuktikan kebolehan beliau sebagai seorang jurulatih sebelum balik ke Malaysia dan melatih skuad basikal negara,” katanya pada sidang akhbar di sini.


Syed Saddiq berkata Josiah tidak memberi alasan seperti mendapat wang ataupun tawaran tinggi dari negara lain sebaliknya mengakui masih belum layak untuk menjadi jurulatih Malaysia.


Dalam laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam mengatakan bekas pelumba kebangsaan itu terkejut apabila komuniti media sosial mendakwa beliau sebagai pengkhianat selepas anak didiknya, Jai Angsuthasawit dari Thailand memintas jaguh trek negara Mohd Azizulhasni Awang dalam perebutan pingat emas acara keirin dalam Sukan Asia Jakarta-Palembang baru-baru ini.


“Banyak jasa yang telah Josiah berikan kepada negara. Dia adalah atlet berbasikal pertama Malaysia yang mara ke peringkat akhir acara keirin dalam Sukan Olimpik,” kata Syed Saddiq.


“Beliau pernah meraih emas untuk negara tapi kita menggelarkannya sebagai pengkhianat.  Sumbangannya untuk negara sangat banyak sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.


“Sepatutnya kita perlu rasa bangga kerana yang membantu Thailand meraih pingat itu adalah seorang rakyat Malaysia. Beliau mampu memberi sumbangan pembangunan sukan di Malaysia pada masa depan,” tambah beliau.


Untuk rekod, Josiah mara ke peringkat akhir acara keirin pada temasya Sukan Olimpik Athens pada 2004 dan berkesudahan dengan berada ditempat kelima.


Dalam temasya Sukan Asia pula, beliau meraih tiga pingat perak – Busan 2002 (pecut), Doha 2006 (keirin) dan Guangzhou 2010 (keirin) serta satu gangsa dalam acara keirin di Incheon pada 2014. – Bernama


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]