Lantik tokoh budayawan sebagai penasihat budaya

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Kerajaan dicadang supaya melantik penasihat budaya daripada kalangan budayawan dan bukannya daripada tokoh yang berlatar belakang politik agar pembangunan negara dapat turut dilaksanakan selari dengan aspek budaya.


Ahli Dewan Negara, Senator Mohd Yusmadi Mohd Yusoff berkata penasihat budaya perlu diberi peranan dari sudut perancangan dasar, di peringkat kerajaan negeri dan kerajaan tempatan agar pembangunan budaya negara seiring dengan zaman.


“Adalah malang Malaysia yang kaya dengan pelbagai budaya tiba-tiba hilang budayanya satu-persatu dalam arus pembangunan.


“Hari ni pembangunan negara kurang mengangkat sisi budaya dan contoh mudah ialah kawasan Kampung Kerinci kini menjadi KL Gateway, Abdullah Hukum jadi KL Eco City, seolah-olah ia bukan berasaskan sejarah tempat berkenaan,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.


Sebelum ini, kerajaan  melantik Tan Sri Dr Rais Yatim sebagai Penasihat Sosio Budaya Kerajaan mengambil kira pelbagai aspek dan elemen dalam memperjuangkan hal-hal sosial dan kebudayaan negara.


Khidmat Rais bagaimanapun tamat pada hujung Mei lalu selepas mandat kerajaan BN berakhir pada pilihan raya umum ke-14.- Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]