Lantikan ketua kampung selesai akhir tahun

in Uncategorized by


GERIK – Kerajaan negeri memberi jaminan isu pelantikan sebahagian besar ketua kampung di Perak yang masih tertangguh akan diselesaikan selewat-lewatnya hujung tahun ini.


Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata, masalah kelewatan isu pelantikan ketua kampung disebabkan kerajaan baharu, Pakatan Harapan (PH) berdepan masalah menentukan pemimpin parti mana dalam pakatan itu untuk mengetuai sesuatu kampung.


“Waktu masuk PRU, kerajaan terdahulu enggan meluluskan¬† Pakatan Harapan yang dibentuk menyebabkan kami terpaksa bertanding guna satu logo milik PKR.


“Usaha-usaha melemahkan hubungan empat parti dalam Harapan dilakukan kerajaan terdahulu dengan sistematik, jadi (kesannya) kami tidak dapat bergerak sepenuhnya sebagai satu pasukan dan kini berdepan masalah menentukan parti mana paling wajar mengetuai sesuatu kampung,” katanya kepada media pada program penyerahan hak milik tanah Felda Nenering Satu kepada 140 peneroka di sini hari ini.


Turut hadir Pengarah Pengurusan Tanah Felda, Erwan Aman.


Ahmad Faizal berkata, bagi memastikan proses lantikan dibuat paling menepati kehendak rakyat, kerajaan negeri tidak boleh membuat keputusan tergesa-gesa.


Menurutnya, pihaknya dimaklumkan Exco Pembangunan Luar Bandar, Asmuni Awi sudah membuat senarai pendek pemegang-pemegang jawatan ketua kampung dan beberapa kampung telah dimuktamadkan sudah dilantik terlebih dahulu.


“Setakat ini, saya tidak pasti peratus ketua kampung masih gagal dilantik, namun isu ini dijamin akan diselesaikan selewat-lewatnya hujung tahun ini.


“Bagi kampung yang masih belum ada kata putus siapa pemegang jawatan, kita akan ambil sedikit masa namun proses ini akan berjalan sepanjang masa demi melancarkan pengurusan peringkat kampung,” katanya.


Ahmad Faizal turut menegaskan urusan kerajaan di peringkat kampung masih berjalan seperti biasa.


“Saya harap orang kampung boleh berhubung penghulu kawasan dan pejabat pusat khidmat wakil rakyat bagi menjalani sebarang urusan kerajaan,”katanya.

 


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]