MCW minta kemukakan justifikasi kes Guan Eng

in Nasional by


SHAH ALAM – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) meminta Jabatan Peguam Negara memberi justifikasi kepada keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menggugurkan kes rasuah membabitkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.


Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, MCW melahirkan rasa terkejut dengan keputusan itu sekaligus menyifatkan rakyat Malaysia mempunyai hak untuk mengetahui perkara sebenar kerana kes melibatkan pemimpin negara yang menjadi menteri pada hari ini.


Menurutnya, keputusan peguam negara itu diharapkan tidak mempunyai kaitan dengan kerajaan baru pada kali ini.


“Kita yakin dan percaya kerajaan baru hari ini sangat berintegriti dan berpegang teguh kepada ‘rule of law’.


“Jika berpegang teguh kepada ‘rule of law’, menteri yang sedang didakwa sepatutnya berani  berdepan dengan kes di mahkamah dan membuktikan dirinya tidak bersalah menjadi mangsa konspirasi,” katanya kepada Sinar Harian.


Jais berkata, pihak peguam negara sepatutnya tidak mengambil langkah berat sebelah dalam membebaskan menteri tersebut.


Katanya lagi, MCW juga meminta menteri tersebut bersikap ‘gentleman’ dan bersedia untuk ke mahkamah dan bukannya meminta pengecualian atau perlepasan mahkamah.


“Kita merasakan berat sebelah tanpa justifikasi daripada pihak Jabatan Peguam Negara selain ia menjadikan satu perasaan yang tidak puas hati dalam kalangan masyarakat.


“Sebelum melahir perasaan tertipu itu kita hendak dengar apa justifikasi, apa sebenarnya berlaku yang  menyebabkan Jabatan Peguam Negara menarik balik kes ini,” katanya.


Bagaimanapun, pihaknya juga bimbang kes seumpama ini menunjukkan tiada perbezaan kerajaan hari ini dengan kerajaan yang lalu.


Jelasnya, kedua-duanya dilihat menggunakan undang-undang untuk kepentingan  diri sendiri.


[ARTIKEL BERKAITAN: Guan Eng bebas tuduhan rasuah]


Sebelum ini, Guan Eng, yang juga Menteri Kewangan, dan ahli perniagaan Phang Li Koon dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah banglo di bawah nilai pasaran.


Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail melepaskan dan membebaskan Guan Eng, 58, dan Li Koon, 46, berikutan permohonan peguam Ramkarpal Singh yang  mewakili Guan Eng, dan Datuk V.Sithambaram serta Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili  Li Koon, supaya anak guam mereka dibebaskan sepenuhnya daripada pertuduhan itu.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]