Pas mahu kerajaan beri penjelasan gugur kes Guan Eng

in Nasional by


SHAH ALAM – Kerajaan perlu beri penjelasan kepada rakyat berhubung pembebasan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng daripada pertuduhan rasuah berkaitan pembelian sebuah banglo di bawah nilai pasaran oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.


Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hasan berkata, ini kerana pembebasan itu menimbulkan persoalan kemungkinan Peguam Negara, Tommy Thomas menggunakan kuasa penuhnya untuk menarik semula dakwaan berkenaan.


Katanya, ia susulan kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dilaporkan terkejut dengan keputusan mahkamah membebaskan Guan Eng.


“Apa yang memeranjatkan kita bagaimana ianya boleh berlaku di luar daripada pengetahuan SPRM sebab selama ini SPRM yang telah mengambil perjalanan siasatan tersebut.


“Jadi saya kira ini adalah kemungkinan AG (Peguam Negara) menggunakan sepenuh kuasanya untuk menarik balik dakwaan tersebut,” katanya kepada Sinar Harian ketika diminta mengulas berhubung keputusan pembebasan berkenaan.


[ARTIKEL BERKAITAN:Guan Eng bebas tuduhan rasuah]


[ARTIKEL BERKAITAN:SPRM terkejut mahkamah bebaskan Guan Eng]


Guan Eng bersama ahli perniagaan, Phang Li Koon dibebaskan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah banglo di bawah nilai pasaran.


Susulan itu, SPRM menerusi satu kenyataan, terkejut dengan keputusan mahmakah itu dan sekali lagi menegaskan bahawa keputusan menarik balik kes tersebut telah dibuat oleh Pejabat Peguam Negara dan bukannya suruhanjaya itu.


Selain itu, Nasrudin berkata, kerajaan juga perlu menjawab persoalan kenapa perbicaraan kes berkenaan tidak diteruskan.


“Betul AG ada kuasa menarik balik, tetapi beliau tarik balik (kes)? Kenapa tidak diteruskan perbicaraan itu. Itu yang perlu pihak kerajaan beri penjelasan kepada rakyat kenapa dakwaan itu ditarik balik,” katanya.


Beliau berkata, walaupun Guan Eng dibebaskan, namun bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu gagal dibersihkan melalui proses perbicaraan yang adil di mahkamah dan ia menjejaskan proses ‘rule of law’ yang selama ini diperjuangkan PH.


“Ertinya Guan Eng bukan menang kes rasuah di mahkamah, tetapi kerana kes itu ditarik balik. Jadi (ia) tidak melalui proses perbicaraan yang sepatutnya,” katanya.

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]