PRK Seri Setia: Halimey sokong wujud minggu kebudayaan

in Politik by


PETALING JAYA – Calon PH, Halimey Abu Bakar menyokong minggu kebudayaan dapat diwujudkan di Dun Seri Setia sebagai tanda sokongan terhadap aktiviti seni dan budaya.


Menurutnya, aktiviti itu boleh menjadi medium berguna, alat perpaduan yang berkesan selain dapat menghindar anak muda daripada terjebak dalam gejala sosial.


Beliau berkata, penganjuran minggu kebudayaan juga dapat mengisi ruang generasi muda bergiat dalam apa sahaja cabang seni dan budaya.


Ia sekali gus dapat mengasah bakat mereka yang terlibat supaya dapat diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.


“Warga Dun Seri Setia majoritinya melalui proses hijrah dari serata pelosok negara. Mereka turut bawa warisan seni dan budaya masing- masing ke Seri Setia.


“Sebagai contoh, orang Kelantan dengan dikir baratnya, orang Johor dengan kompang dan kuda kepangnya manakala orang Melaka membawa sama budaya Baba Nyonya dan rebananya. Begitu juga dengan kaum Cina dan India, mereka turut membawa seni budaya yang unik serta tersendiri,”katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PH, hari ini.


Katanya, penghargaan terhadap seni dan budaya dapat dilihat dalam kelompok generasi muda, tidak terkecuali di Dun Seri Setia.


Sehingga kini, setiap cabang seni dan budaya itu masih dipraktikkan sama ada dilakukan secara bersendirian mahu pun berkumpulan.


“Saya sokong penuh penglibatan anak muda dalam dunia seni kerana percaya ia warisan perlu dipertahan sebagai khazanah berharga yang tiada had tempoh atau tarikh luputnya.


“Sebagai menterjemah sokongan kepada aktiviti seni dan budaya, saya sokong minggu kebudayaan dilaksana bermula dari sekarang,” katanya.


Ujarnya lagi, sebagai bekas ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), beliau berharap lebih banyak bakat seni dapat dicungkil terutama menerusi Badan Kesenian MBPJ yang aktif sejak sekian lama.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]