Saya bukan gengster!

in Edisi by


JASIN – Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani negeri, Norhizam Hassan Baktee menafikan beliau bertindak seperti ala gangters ketika mengetuai serbuan di sebuah stor yang disyaki menyimpan baja subsidi kerajaan bagi Projek Beras Wangi Sungai Rambai seperti ditularkan di media sosial, baru-baru ini.


Menurutnya, ketika kejadian itu, berlaku provokasi di antara beliau dan beberapa penduduk setempat yang melarangnya untuk membuka stor berkenaan.


“Berlaku sedikit provokasi antara saya dengan pihak penduduk di mana saya telah dihalang, dicerca dan dimaki hamun, seolah-olah saya budak-budak, sedangkan saya seorang Ahli Exco dan saya bertanggungjawab di atas apa yang berlaku.


“Mereka menggunakan kata-kata kesat, menyebut nama ibu-bapa saya sedangkan keduanya sudah meninggal dunia,” katanya.


Beliau ditemui ketika menjelaskan mengenai perkara itu selepas mengadakan perjumpaan bersama polis dan jabatan terlibat berkenaan isu penyelewengan baja bagi Projek Beras Wangi Sungai Rambai di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin.


Turut sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Tey Kok Kiew dan Exco Kesihatan negeri, Low Chee Leong.


Menurut Norhizam, video berdurasi satu minit 36 saat ditularkan oleh beberapa individu di laman sosial selepas kejadian itu sehingga ia mengundang kemarahan masyarakat malah lebih berat lagi apabila beliau dilabel sebagai ‘YB gangster’.


“Saya melontarkan pertanyaan ‘awak kenal siapa saya?’ sebab mereka maki saya dan beranggapan kemungkinan mereka tidak mengenali saya.


“Saya jelaskan, kalau tak kenal panggil ayah mereka jumpa dengan saya, jadi perkara itu tidak berlaku malah terus berlaku provokasi, mereka keluar beramai-ramai, maki hamun saya,” katanya.


Norhizam berkata, adalah tidak adil sekiranya beliau terus ditohmah sedangkan niatnya adalah untuk memperjuangkan golongan pesawah yang kebanyakannya berbangsa Melayu.


“Tidak adil kepada saya kerana saya sebagai seorang Exco yang menjalankan tugas dan amanah diberikan oleh rakyat tetapi dianggap seorang YB gangters, semua ini tidak wujud kerana saya perjuangkan pesawah yang terdiri dari kalangan orang-orang Melayu,” katanya.


Beliau juga berhasrat mengambil tindakan undang-undang terhadap pengguna media sosial yang menularkan video berkenaan termasuk mereka yang memfitnah serta mengeluarkan kata-kata kesat terhadapnya.


Dalam pada itu, Norhizam juga memohon maaf jika tindakan beliau itu dianggap keterlaluan dan tidak disenangi penduduk setempat serta rakyat.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]