Thomas, sila jelaskan atau letak jawatan – Azalina

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Peguam Negara, Tommy Thomas digesa supaya memperjelaskan tindakannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang membebaskan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng daripada pertuduhan rasuah membabitkan pembelian banglo bawah harga pasaran.


Jika gagal melakukannya, Ketua Unit Undang-Undang Umno, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Thomas wajar melepaskan jawatan kerana kredibiliti Jabatan Peguam Negara diragui.


Katanya, Thomas perlu menjelaskan perkara tersebut kerana persepsi buruk yang ditimbulkan ini adalah sesuatu yang bahaya dan mengancam doktrin pengasingan kuasa di Malaysia dan menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap sistem pentadbiran negara.


“Peguam Negara wajib menjelaskan perkara ini memandangkan rakyat memerlukan penjelasan, apatah lagi SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) sendiri terkejut dengan keputusan tersebut.


“Jangan bersembunyi di sebalik kuasa yang diperuntukkan di bawah 145(3) atau letak jawatan dengan segera tanpa menjejaskan lagi kredibiliti Jabatan Peguam Negara,” katanya melalui kenyataan media hari ini.


[ARTIKEL BERKAITAN: Guan Eng bebas tuduhan rasuah]


Mengulas lanjut, Azalina yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, terdapat satu tren membimbangkan di mana wujud pengguguran kes-kes pendakwaan yang melibatkan pemimpin PH secara berterusan, seperti yang sering dimaklumkannya sebelum ini.


Malah katanya, beliau turut membangkitkan beberapa kali di Parlimen supaya kuasa Peguam Negara dan Pendakwaraya diasingkan untuk mengelakkan campur tangan mana-mana pihak yang mana perkara sebegini akan dikhuatiri terus berlaku dan menjadi lebih parah di masa hadapan.


“Pada hari ini satu lagi kes yang digugurkan oleh Peguam Negara iaitu terhadap kes Guan Eng sekaligus menyebabkan kredibiliti Jabatan Peguam Negara itu sendiri dipersoalkan.


“Apatah lagi, Peguam Negara sendiri pernah mewakili Guan Eng di dalam kes ini sebelum menjadi Peguam Negara,” katanya.


Dalam pada itu, Azalina berkata, beliau menggesa Majlis Peguam membuat satu mesyuarat tergempar mengenai perkara ini dan menyatakan pendirian mereka dalam perkara tersebut.


 


 

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]