Tunggakan bayaran saman DBKL hampir RM1bilion

in Edisi by


KUALA LUMPUR – Sejumlah 4.5 juta notis kompaun dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melibatkan nilai hampir RM1bilion masih gagal dilunaskan.


Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad, berkata, angka itu menunjukkan sikap pesalah yang menangguhkan bayaran kompaun sehingga membuatkan jumlah tunggakan semakin bertambah setiap tahun.


Justeru menurutnya, DBKL telah mengambil inisiatif memberi tawaran bayaran kompaun dengan kadar istimewa untuk kompaun tertunggak bagi menggalakkan lagi pembayaran seterusnya mengelakkan daripada dikenakan tindakan lebih serius.


“Mana-mana kompaun lama sebelum 1 September perlu dijelaskan sehingga 30 September ini untuk mendapat kadar khas yang ditetapkan iaitu RM20 untuk motosikal, RM30 untuk kereta, dan RM50 untuk kenderaan berat.


“Dengan kadar khas yang ditetapkan ini, DBKL hanya akan dapat mengutip kira-kira RM100 juta daripada nilai tunggakan yang asal iaitu RM924 juta. Walaupun banyak pengurangan yang berlaku, kita hanya mahu pastikan semua pesalah terlibat membuat bayaran yang sekian lama tertunggak,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.


Dalam masa sama, Khalid berkata, sebagai usaha mengelakkan berlakunya tunggakan bayaran kompaun, DBKL juga memperkenalkan diskaun secara automatik bagi kompaun kesalahan-kesalahan trafik DBKL yang dikenakan bermula 1 September sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.


“Hanya RM15 dikenakan bagi kesalahan tempat letak kereta, lalulintas dan halangan lalulintas sekiranya dibayar dalam tempoh 48 jam. Manakala RM30 untuk semua kesalahan sama untuk bayaran dalam tempoh tiga hingga 14 hari. Seterusnya dalam tempoh sehingga 30 hari, RM50 kenakan. Sekiranya melebihi 30 hari, kadar bayaran adalah pada kadar normal,” katanya.


Mengulas berhubung inisiatif diskaun yang dikatakan akan menggalakkan lagi warga kota melakukan kesalahan, beliau bagaimanapun berkata pihaknya mengambil kira perkara tersebut dan akan mempertimbangkan semula tawaran berkenaan sekiranya ia benar memberi kesan negatif terhadap sikap warga kota.


“Tawaran ini untuk galakkan pesalah-pesalah trafik jelaskan segera kompaun yang dikenakan dan mengelakkan daripada disenarai hitam. Namun jika jumlah kompaun dikeluarkan semakin bertambah disebabkan warga kota sewenang-wenangnya membuat kesalahan sebab dapat bayaran murah, mungkin kita akan kaji semula,” katanya.

 


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]