Ular sawa baham anak lembu

in Edisi Terengganu by


MARANG – Misteri seekor anak lembu hilang terbongkar apabila sekumpulan penduduk menemukan seekor ular sawa batik sedang kekenyangan di ladang kelapa sawit Charoh Langsat di sini, hari ini.


Salah seorang penduduk, Wahab Mahmud, 63, berkata, ular sepanjang lebih empat meter dan seberat lebih 150 kilogram itu tidak bertindak agresif kerana tidak mampu bergerak akibat kekenyangan.


“Ular sawa berkenaan dipercayai menjadikan kawasan ladang sawit tersebut sebagai habitat kerana terdapat banyak sumber makanan di kawasan itu.


“Penduduk memburunya selepas menerima laporan daripada penduduk yang mengatakan seekor anak lembu yang dilepaskan di kawasan ladang itu hilang.


“Kawasan ladang itu sering dijadikan tempat lembu ternakan penduduk berkeliaran mencari makanan,” katanya ketika ditemui dilokasi kejadian petang ini.


Sebelum itu, reptilia itu diburu penduduk kampung selepas dipercayai membaham seekor anak lembu milik, Siti Malek, 58, sekitar jam 7 pagi tadi.


Wahab berkata, penemuan itu turut menggemparkan penduduk kampung berdekatan kerana mereka tidak pernah melihat ular sebesar itu di ladang kelapa sawit berkenaan sebelum ini.


Menurutnya, ladang kelapa sawit itu terletak kira-kira 10 minit dari kawasan rumah penduduk.


“Penduduk akhirnya mengambil keputusan membunuh ular itu kerana dibimbangi akan mengancam nyawa manusia selain menjadikan ternakan penduduk kampung sebagai makanannya,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]