UTM terima 3,944 pelajar baharu

in Edisi Johor by


SKUDAI – Seramai 3,944 pelajar baharu peringkat sarjana muda melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi sesi pengajian 2018/ 2019.


Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTM, Profesor Dr Durrishah Idrus berkata, ia termasuk 544 pelajar antarabangsa dari pelbagai negara.


Menurutnya, ini termasuklah pelajar yang berasal dari Indonesia, Yemen, Arab Saudi selain dari negara Eropah seperti United Kingdom, Jerman dan Kanada.


“Daripada keseluruhan penuntut, seramai 227 mendaftar di Kampus UTM di Kuala Lumpur dan selebihnya di Kampus Johor Bahru.


“Kumpulan mahasiswa berkenaan ditawarkan mengikuti pengajian bagi 55 program pengajian pra-siswazah di tujuh fakulti.


“Ini termasuk fakulti kejuruteraan, fakulti alam bina dan ukur, fakulti sains, fakulti sains sosial dan kemanusiaan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS), Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) dan Fakulti Teknologi dan Informatik Razak (FTIR),” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media semasa hadir ke sesi pendaftaran pelajar baru dan Minggu Mesra Mahasiswa di Kolej Tun Dr Ismail UTM, di sini, hari ini.


Program berkenaan berlangsung bermula hari ini hingga Jumaat ini berkonsepkan pemantapan pengalaman mahasiswa dalam kampus yang merangkumi sesi ikrar mahasiswa, bersama ikon, karnival sukan, larian serta UTM Got Talent.


Durrishah berkata, UTM juga membelanjakan RM50juta mulai awal tahun hingga kini bagi membaikpulih bangunan fakulti,  asrama, kemudahan internet dan sebagainya bagi meningkatkan kemudahan dan keselesaan warga UTM.


Dalam pada itu, beliau berkata, dianggarkan kira-kira 50 peratus pelajar UTM terdiri daripada kalangan keluarga B40.


“Perihatin dengan perkara tersebut, pelbagai usaha telah dilaksanakan UTM untuk membantu golongan berkenaan.


“Ini termasuklah mengadakan program sumbangan makanan di cafe-cafe terpilih selain almari kasih sayang yang menyediakan makanan secara percuma dan sebagainya.


“Buat masa ini, almari kasih sayang hanya di laksanakan di UTM Kampus Kuala Lumpur dan dijangka akan dilaksanakan di UTM Kampus Johor Bahru juga tidak lama lagi,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]