Warta segera elak terus diceroboh

in Uncategorized by


MANJUNG – Kerajaan negeri digesa agar segera mewartakan tanah paya bakau di Kampung Pasir Pandak, Sitiawan bagi membendung masalah penerokaan haram yang merosakkan ekosistem kawasan berkenaan.


Adun Pasir Panjang, Yahaya Mat Nor berkata, tindakan segera perlu diambil melibatkan kawasan seluas 80 hingga 121 hektar ini dengan mewartakannya di bawah Hutan Simpan Lekir yang kini berkeluasaan 612 hektar.


“Beberapa hari lalu saya mengambil pendekatan untuk turun ke Kampung Pasir Pandak bagi melihat sendiri seteruk mana kawasan paya bakau di sana diterokai oleh pihak tidak bertanggungjawab.


“Ternyata ia semakin tidak terkawal selain terdapat sebuah excavator dipercayai digunakan untuk meneroka kawasan paya berkenaan hingga ke pinggir laut,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada program menanam 1,000 anak pokok bakau di Hutan Simpan Lekir, di Kampung Sungai Tiram, Sitiawan, semalam.


Tambahnya pihaknya ada berhubung dengan Pejabat Tanah dan Daerah Manjung dan mereka mengatakan bahawa terdapat kerja-kerja membaik pulih di Kampung Pasir Pandak tersebut.


“Saya harap apa yang dimaklumkan mereka itu benar kerana kita ingin semua pihak tahu bahawa kerajaan baharu hari ini amat serius mengenai kerosakan-kerosakan yang dilakukan,” katanya.


Menurut Yahaya keperluan mewartakan kawasan paya bakau di beberapa kawasan termasuk di Kampung Pasir Pandak dan juga Sungai Limau hingga ke Kampung Sitiawan amat penting bagi mengekalkan alam semula jadi untuk kehidupan rakyat.


“Selain itu, pencerobohan yang dilakukan oleh individu tidak bertanggungjawab ini juga bakal menyebabkan generasi akan datang menanggung kos yang tinggi bagi memulihara semula paya bakau yang rosak.


“Hasil tangkapan nelayan juga akan berkurangan dan menyebabkan mereka hilang punca pendapatan sekiranya permasalahan ini tidak di atasi dengan segera,” katanya.


Sementara itu, Pembantu Pegawai Program dan Komuniti Hutan dan Pesisir Pantai Pusat Alam Sekitar Global (GEC), Muhamad Faizal Muhd Ghazali berkata, seramai 100 sukarelawan membabitkan pelajar sekolah, komuniti setempat dan kakitangan kerajaan mengambil pendekatan turun padang menanam 1,000 anak pokok bakau spesis minyak di Hutan Simpan Lekir ini.


“Program yang mendapat¬† kerjasama Sahabat Hutan Bakau Lekir Sitiawan dan Jabatan Perhutanan Perak ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan ekosistem bakau selain dan memberi kesan positif kepada pembangunan ekonomi komuniti setempat.


“Sempena sambutan Hari Kebangsaan ini, semangat cintakan negara dapat dizahirkan kerana berusaha menjaga alam semulajadi dengan menanam pokok bakau yang berfungsi sebagai benteng untuk menghalang hakisan serta melindungi daripada angin kencang atau ribut.


Tambahnya sehingga kini pihaknya sudah menjalankan 22 program penanaman pokok bakau di hutan berkenaan sejak dua tahun lalu membabitkan kira-kira 38,000 pelbagai jenis bakau seperti minyak, kurap, api-api putih, tumu merah dan tumu putih.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]