1,868 kediaman terjejas dilanda ribut

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Sebanyak 1,868 kediaman di daerah ini, Kuala Nerus dan Marang membabitkan sembilan Dun terjejas akibat dipukul ribut dalam kejadian jam 4 petang semalam.


Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Azmi Razik berkata, antara kawasan paling teruk terjejas ialah Dun Wakaf Mempelam melibatkan 603 buah rumah, Buluh Gading (529), Batu Buruk (299) dan Ladang (162).


“Kawasan lain yang turut dilanda ribut ialah Dun Bukit Payong (100), Bandar (82), Manir (50), Alor Limbat (30) serta Bukit Tunggal sebanyak tujuh buah kediaman.


“Ini bencana ribut yang besar pernah berlaku dan ia melibatkan kerosakan dalam jumlah yang agak besar dengan lebih 1,800 kediaman terlibat,” katanya kepada Sinar Harian.


Menurutnya, jumlah kerugian akibat bencana masih dalam senarai semakan bagaimanapun terdapat lima mukim yang turut mengemukakan jumlah kerugian ditanggung.


“Bagi mukim Pengadang Baru dan Atas Tol di Dun Wakaf Mempelam, angka kerugian dijangka RM150,000 melibatkan 102 buah rumah manakala, di mukim Chabang Tiga dan pulau-pulau anggaran kerugian sebanyak RM47,850 melibatkan 86 buah rumah.


“Mukim Bukit Besar di Dun Ladang pula sebanyak 152 rumah terjejas dengan anggaran kerugian RM49,700,” katanya.


Azmi berkata, jumlah sebenar kerugian akan diketahui selepas meninjau beberapa lokasi teruk dilanda ribut jam 11 pagi esok.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]