Irda komited pelihara, pulihara bangunan warisan

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (Irda) komited dalam memastikan bangunan yang mempunyai nilai warisan sejarah dalam kawasan wilayahnya terus dipelihara dan dipulihara.


Ketua Eksekutif Irda, Datuk Ismail Ibrahim berkata, usaha berkenaan ditekankan supaya bandar raya ini dapat direalisasikan sebagai metropolis mantap dan mampan.


“Selaras dengan Pelan Pembangunan Komprehensif Iskandar Malaysia II (CDP II), pemuliharaan setiap bangunan terpilih ini penting kerana memainkan peranan besar dalam tarikan pelancong.


“Jadi secara spesifik di bawah Pelan Induk Konservasi dan Garis Panduan Kawasan Warisan Pusat Bandaraya Johor Bahru, Irda telah mengenal pasti 263 bangunan yang mempunyai elemen budaya dan warisan,” katanya.


Mengambil serius inisiatif terbabit, Irda dengan kerjasama Majlis Bandaraya Johor Bahru, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Think City telah mengadakan satu taklimat dan bengkel pemuliharaan di Hotel Amari di sini, semalam.


Mengulas mengenai bengkel berkenaan, Ismail berkata, usaha itu penting dalam memberi bimbingan dan galakan kepada kontraktor untuk menggunakan kaedah konservasi dan pemuliharaan bangunan warisan dengan betul. 


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]